Archive for February, 2011

28 February 2011

Pembangkang Kini Semakin Ketandusan Isu Di Kerdau – Liow

TEMERLOH, 28 Feb – Pihak pembangkang kini dilihat semakin ketandusan isu untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau apabila bertindak menyamakan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dengan kerajaan rejim Hosni Mubarak di Mesir.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tuduhan tidak berasas itu ternyata tidak berpaksi di bumi nyata tanpa mahu melihat pelbagai usaha transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan BN.

“Mereka (pembangkang) sengaja nak cipta isu kerana di sini sudah tidak ada isu besar, samakan kita dengan Mesir. Kita tidak sama, kerajaan sentiasa lakukan perubahan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tuduhan pihak pembangkang PAS di dalam siri ceramahnya di sini yang membuat tuduhan tidak berasas itu semata-mata mahu meraih undi.

Terdahulu itu, Liow, yang juga Menteri Kesihatan, mengagihkan bakul makanan kepada 35 kanak-kanak Orang Asli yang mengalami masalah kekurangan zat makanan di Sekolah Jenis Kebangsaan Kerdau, dekat sini.

Pilihan raya kecil kawasan itu pada 6 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim.

Advertisements
28 February 2011

Nik Aziz Tolak Asal Usul Untuk Dapatkan Sokongan

JENGKA 28 Feb – Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak berbangga menjadi bangsa Melayu hanyalah gimik politik yang sering digunakan terutama dalam usahanya untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Nik Aziz itu bukanlah suatu yang mengejutkan kerana dia akan membuat apa sahaja kenyataan untuk dapat perhatian.

“Sekarang ni dia tak bangga jadi orang Melayu kerana dapat undi dari orang bukan Melayu, dan kalau nak dapat undi dari orang bukan Islam, saya percaya satu hari nantia mungkin Nik Aziz akan cakap dia tak bangga jadi orang Islam.

“Itulah Nik Aziz, Mursyidul Am Pas, bila-bila masa boleh berubah hanya untuk kepentingan politik,” katanya selepas melancarkan Program Tukar di Felcra Rumpun Makmur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz bahawa beliau tidak minta untuk dilahirkan sebagai seorang berbangsa Melayu dan secara kebetulan lahir di negara ini.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kesal dengan kenyataan Nik Aziz kerana sanggup menidakkan asal usul keturunanannya hanya kerana politik.

“Puteri UMNO merasa kecewa dan sedih dengan kenyataan yang keluar dari seorang pemimpin agung parti yang dikatakan sebagai seorang tok guru tetapi sanggup tidak berbangga dengan asal usulnya.

“Apakah terlalu teruk menjadi seorang Melayu, adakah perlu kita mengenapikan asal usul kita hanya untuk menarik kaum lain menyokong kita, kita tak perlu lakukannya dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah melakukannya,” katanya kepada UMNO-online.

Menurutnya, pemimpin BN tidak pernah menidak atau malu untuk mengaku asal usulnya hanya untuk dapat sokongan, malah mereka berbangga dengan asal usul masing-masing.

Rosnah berkata, tidak perlu mengadai asal usul hanya untuk dapat sokongan tetapi yang penting perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat.

“Kita tidak perlu katakana negara ini bukan Melayu yang punya, Cina yang punya, India yang punya hanya untuk menarik golongan ini, ia tidak perlu sama sekali kerana yang utama rakyat di negara ini dapat hidup bersama tanpa masalah.

“Perlulah kita menukarkan identiti sekadar untuk tarik sokongan, perlukah kita buta pembohongan untuk dapatkan sokongan, saya minta rakyat memikirkan apa yang berlaku ini,” katanya.

Rosnah meminta kepada penyokong pembangkang supaya meneliti serta memikirkan apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka yang sanggup mengadaikan asal usul untuk dapatkan sokongan.

28 February 2011

Pembinaan Jambatan Kuala Krau Satu “Rahmat” Kepada Penduduk Sekitar

TEMERLOH, 28 Feb – Kalau dilihat daripada fizikalnya, Jambatan Kuala Krau di sini tak jauh bezanya dengan jambatan-jambatan lain yang sedia ada di negeri Pahang ini.

Bagi penduduk, jambatan dua lorong sepanjang 490 meter berharga RM64 juta itu yang merentangi sungai Pahang bagi menghubungkan Bandar Tun Razak di Jengka, Kuala Krau dan Jerantut, yang dibuka setahun yang lalu, merupakan satu rahmat.

Ini kerana projek kerajaan Barisan Nasional (BN) itu telah memberi impak yang amat besar kepada kehidupan mereka termasuk daripada segi ekonomi.

Norrul Haya Abdul Samad, 59, ketika ditemui Bernama berkata pembinaan jambatan itu amat memberi kesan kepada penduduk sekitar daripada segi memendekkan masa perjalanan dan kos petrol dalam mengangkut hasil pertanian seperti kelapa sawit dan getah selain sebagai jalan alternatif untuk ke Bandar Pusat Jengka atau Maran.

Menurutnya, sebelum pembinaan jambatan itu, penduduk di kedua-dua belah sungai iaitu di Rumpun Makmur yang berhampiran Jengka dan di Kuala Krau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bot penambang.

Norrul Haya yang tinggal di Kampung Masjid berdekatan dengan jambatan itu berkata Kuala Krau itu berkata bot penambang yang mengenakan bayaran RM1 seorang bagi laluan sehala dan RM2 sehala bagi mereka yang membawa motosikal pula hanya beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang.

“Susahlah…kalau ada kes-kes kecemasan seperti kematian di waktu malam, tak ada pilihan kecuali naik kereta atau motosikal ikut jalan jauh. Tapi bila ikut jalan darat jauhnya macam “bercinta”. Nak sampai pun kira-kira lebih satu jam, bayangkanlah. Tapi sekarang dah ada jambatan lain sikit, semua dah senang, dekat,” katanya.

Katanya sejak jambatan itu dibuka, jalan-jalan utama di sekitar kampung itu dan kampung berhampiran mula dinaik taraf dan dilebarkan.

Selain itu, katanya nilai pasaran tanah di kawasan berkenaan juga melambung sehingga RM150,000 bagi tanah seluas 0.4 hektar berbanding kira RM40,000 sebelum itu.

Shahrizal Aziz, 26, dari Kampung Pulau Raya pula berkata pembinaan jambatan yang diharap-harapkan penduduk sekian lama itu telah banyak menjimatkan masa perjalanan dari Rumpun Makmur ke bandar Temerloh daripada satu jam kepada setengah jam.

Bekerja sebagai mekanik motosikal, katanya sejak jambatan dibuka, kedai tempatnya bekerja juga semakin sibuk apabila terdapat penambahan bilangan motosikal yang perlu dibaiki.

“Saya bersyukurlah sebab adanya jambatan ini, saya pun ada kerja sebenarnya. Kalaulah kerajaan tak buat jambatan, kamilah yang akan menanggung susah dan tak akan ada perubahan di tempat ini,” katanya.

Anak muda itu juga bersyukur kerana kawasan itu tidak diperintah pembangkang yang menurutnya pembangkang hanya tahu berjanji dan tidak mempunyai keupayaan untuk memenuhi setiap kehendak rakyat.

Nor Fadhilah Mohd Norani, 26, pula berkata adalah tidak tepat bagi mana-mana pihak untuk menuduh projek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebagai membazir.

“Macam jambatan ini, taklah membazir. Ia menyenangkan kami penduduk di kedua-dua belah sungai ini untuk ke Kuala Krau dan Jerantut ataupun ke Jengka. Kerajaan dah banyak tolong rakyat,” katanya.

Seorang pengusaha stesen minyak, Yap Siew Kian, 45, juga mengaku merasai perubahan khususnya daripada aspek penjualan petrol dan pertambahan kenderaan di kawasan pekan itu selepas jambatan itu dibina.

“Stesen ini sangat sibuk sekarang. Bukan sebab adanya pilihan raya (kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau pada 6 Mac) tetapi sejak ada jambatan itu, orang dari Rumpun Makmur, Felda Jengka 22, 23 dan 25 pun ada datang beli minyak sini.

“Sebelum ini hanya orang di sekitar Kuala Krau sahaja yang membeli minyak. Sekarang permintaan untuk minyak petrol sangat tinggi di sini,” katanya sambil menambah pembinaan jambatan itu oleh BN telah melipatgandakan rezekinya.

K.Mugunthan, 33, kerani di sebuah kedai alat ganti kereta dan lori di pekan Kuala Krau berkata kedai itu yang dibuka setahun lalu telah mendapat sambutan termasuk daripada penduduk di sekitar Jengka dan Jerantut bagi mendapatkan alat ganti kenderaan.

Jambatan Kuala Krau yang dirasmikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 8 Mac 2010, memberi manfaat kepada lebih 60,000 penduduk di sekitar daerah Jerantut, Temerloh dan Maran.

28 February 2011

Isteri Calon Tidak Gentar Fitnah Pas

KERDAU, 28 Feb – Isteri kepada Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Sharifah Farunai Syed Ahmad berkata, sebagai isteri calon, dia sedikit pun tidak gentar dengan fitnah pembangkang terhadap suaminya semata-mata kepentingan politik. Sebaliknya, beliau akan terus berdiri dan menyokong suaminya berkempen dan berkidmat kepada masyarakat setempat.

“Saya tidak mudah untuk mempercayai kata-kata pembangkang malah saya tidak terganggu sedikitpun. Seperti contoh, fitnah Pas mengenai sijil suami saya. Saya isterinya dan kami belajar ditempat yang sama. Mestilah saya tahu suami saya tamat belajar atau tidak.

“Perkara ini jelas membuktikan Pas menfitnah. Apatah lagi perkara lain. Sebab itu, saya akan sentiasa memberikan sokongan kepada suami saya untuk memperjuangkan kebenaran serta berkhidmat kepada orang ramai. Sebelum ini pun, memang suami saya menjadi tempat rujukan dan meminta pertolongan oleh penduduk setempat,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad telah difitnah kononnya tidak tamat belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir. Sebagai isteri, Sharifah Farunai telah siap dari segi mental malah fizikal untuk menghadapi segala tohmahan Pas.

“Semua ini perkara biasa. Suami saya bukan baru dalam dunia politik. Biarlah Pas nak cakap apa pun. Saya tetap berdiri di belakang suami saya. Saya yakin, suami saya berada di pihak yang benar.

“Malah saya sendiri dengan rela hati berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga dan memberi laluan kepada suami untuk memberi sumbang bakti demi pembangunan masyarakat dan negara,” terangnya penuh yakin.

Sebagaimana suaminya, Sahrifah Farunai juga merupakan lulusan Al-Azhar namun mengambil keputusan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga dan tiga orang cahayamata mereka.

Pasangan ini dikurniakah tiga orang anak Assayiel Muhammad Al-Baqir (15), Assyarufah Balqis (13) dan Sharifah Sehah (9).

28 February 2011

Pengarah SPR Pahang Meninggal Dunia

TEMERLOH, 28 Feb – Pengarah Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Pahang Datuk Ismail Mohd Yusoff meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah di sini petang ini kerana serangan jantung.

Pegawai pengurus pilihan raya kecil Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, Ismail, 57, yang meninggal dunia pada pukul 3.15 petang, dimasukkan ke hospital itu pagi tadi.

Beliau berada di sini bagi melihat persiapan pilihan raya kecil Kerdau yang akan diadakan Ahad ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim.

DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN akibat penyakit jantung pada 12 Feb lepas.

27 February 2011

‘Syed Ibra’ Pilihan Tepat Untuk Masyarakat Kerdau

Temerloh, 27 Feb- Pemilihan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, 6 Mac ini merupakan satu pilihan yang tepat dan paling sesuai, malah beliau juga mempunyai perwatakan yang disegani masyarakat selain mampu berkhidmat kepada masyarakat khususnya di DUN Kerdau ini, ujar Norhasmimi Binti Abdul Ghani, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau.

“Hari ini, pucuk kepimpinan parti telah menamakan calon kita, calon yang mempunyai kewibawaan dan kesungguhan untuk kita bawa sepanjang berkempen bagi memastikan kerusi DUN Kerdau terus kekal bersama BN.

Sehubungan dengan itu, Puteri UMNO Bahagian Kerdau akan mula mengerakkan jentera Puteri bagi mendekati masyarakat khususnya wanita muda dalam usaha untuk memastikan kemenangan besar BN pada 6 Mac ini,” ujarnya kepada UMNO-Online mengulas peluang calon BN.

Puteri UMNO telah merangka program-program yang boleh mendekati masyarakat khususnya wanita muda. Antara program yang diyakini boleh memberikan kesan kepada golongan sasar ini ialah program sukaneka, kelas-kelas kecantikan, ziarah rumah ke rumah serta program kesihatan.

“Saya amat yakin, dengan gerakkerja dan kerjasama kita semua, BN mampu mencapai kemenangan selesa 6 Mac nanti. Kami yakin dan tidak ada syak serta ragu-ragu dengan kebolehan serta kewibawaan yang ada pada Saudara Syed Ibrahim sebagai calon BN. Kami juga percaya, jika kepercayaan yang diberikan oleh pengundi kelak, beliau boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Lagi pun beliau bukanlah asing bagi kami kerana adalah Naib Ketua UMNO bahagian. Jadi tidak ada masalah bagi saya dengan keputusan pucuk pimpinan memilih beliau sebagai calon BN. Justeru tegas beliau, Puteri UMNO bahagian akan bekerjasama rapat dengan semua jentera BN bagi memastikan calon BN akan menang pada hari pengundian nanti,” tambahnya lagi.

27 February 2011

‘Calon Reject’ Pas Tiada Sokongan, Tapi BN Jangan Terlalu Selesa- Abu Jimi

Temerloh, 27 Feb- Sindrom terlalu yakin dan selesa yang boleh membawa kekalahan kepada BN, kini jadi fokus Jentera Pemuda BN Pahang pada pilihan raya kecil DUN Kerdau, Pahang.

Sebaliknya jentera kempen Pemuda BN harus bekerja lebih kuat daripada biasa supaya calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad atau lebih dikenali dengan nama `Syed Ibra’ menang dengan majoriti lebih besar pada 6 Mac ini, ujar Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (Pemuda BN) Negeri Pahang, Abu Jimi Samad.

“Sikap terlalu yakin dan selesa ini tidak baik. Kita ada tugas berat, kena kerja lebih kuat dari biasa sebab tempoh kempen pun pendek. Semua kena beri tumpuan penuh dan jumpa setiap pengundi bertanyakan masalah dan cuba membantu apa yang mampu,” ujarnya selepas program Kempen Rumah Ke Rumah bersama Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang tadi.

Sambil mengulangi bahawa Syed Ibra adalah calon terbaik, yang merupakan anak tempatan serta banyak jasa dan pengalaman, selain cukup disegani oleh masyarakat setempat, peluangnya untuk menang dengan undi lebih besar memang ada.

Bagaimanapun Abu Jimi  mengingatkan jentera Pemuda BN mahupun UMNO, agar tidak boleh terlalu yakin kerana pilihan raya adalah proses demokrasi dengan pengundi ada hak menentukan siapa pilihan mereka.

“Saya ingatkan Pemuda dan rakan-rakan BN supaya bersungguh-sungguh dan jangan ambil mudah. Rasa yakin dan sikap selesa ini satu ancaman bagi kita dan harus dihindarkan,”  ujarnya yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Lipis, Pahang.

Dalam pada itu katanya, BN sedar bahawa parti lawan akan menggunakan peluang pilihan raya kecil ini untuk ketengahkan pelbagai isu dan masalah sama ada soal tempatan mahupun nasional.

“Kita harus bersedia mengambil satu demi satu isu untuk dijelaskan termasuk isu rasuah dan sebagainya.  Pakatan pembangkang khususnya Pas dan PKR ini  juga ada masalah tetap mereka cuba tunjuk lagak macam tiada masalah.

“Mereka nampak macam bersama tetapi kita lihat banyak perkara mereka tidak setuju sama ada soal dasar dan sebagainya. Macam di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor, mereka tak upaya bersatu…mereka hanya satu bantal, tapi mimpi lain-lain,” jelasnya.

Selain itu, katanya, banyak janji pembangkang dalam manifesto pilihan raya umum lalu tidak mereka tunaikan malah wakil rakyat mereka tidak kemampuan berbuat demikian.

27 February 2011

Pas Tidak Lagi Komited Dengan Slogan Membangun Islam

SUNGAI BULOH, 27 Feb – Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Hamzah Zainudin berkata PAS tidak lagi komited dengan slogan membangun bersama Islam yang membawa sokongan Melayu terhadap parti itu sebelum ini.

Beliau berkata penggunaan slogan itu dilihat berubah berdasarkan keperluan politik apabila hanya dilaungkan ketika memerlukan sokongan Melayu, sebaliknya terus berubah apabila bersama-sama bangsa lain.

Menurutnya, PAS kini datang semula dengan agenda membangun bersama Islam bertujuan menarik sokongan orang Melayu sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau, yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

“Kita boleh lihat, di hadapan kaum bukan Islam semasa pilihan raya kecil (DUN) Tenang (baru-baru ini) mereka bercakap PAS tidak hanya tumpu kepada membangun bersama Islam sebaliknya cukup bersemangat apabila bercakap di hadapan orang Melayu.

“Soalnya kenapa slogan itu hanya dilaungkan di hadapan orang Melayu. Adakah hanya semata-mata untuk meraih simpati pilihan raya. Yang nyata apabila pilihan raya berakhir moto itu akan bertukar menjadi membangun bersama DAP,” katanya kepada ketika ditemui semasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran RNZ Group bersama anak-anak yatim di Asrama Damai, Kuang dekat sini, hari ini.

Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata dengan mengembalikan semula slogan itu, PAS dilihat benar-benar cuba untuk mengelirukan pengundi di Kerdau dan Merlimau seolah-olah pendirian mereka terhadap moto itu tidak berubah.

Statistik Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan 7,706 pengundi daripada keseluruhan 8,721 pengundi berdaftar di DUN Kerdau adalah orang Melayu manakala 64.69 peratus daripada 10,679 pemilih berdaftar di DUN Merlimau juga pengundi Melayu.

27 February 2011

PM Bidas Dakwaan Peneroka Hamba Kerajaan

BANDAR JENGKA, 27 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membidas dakwaan pembangkang kononnya kerajaan memperhambakan peneroka Felda tanpa memperdulikan kebajikan mereka.

Beliau berkata sejak Felda ditubuhkan 54 tahun lepas, peneroka yang dahulunya tidak mempunyai sebarang harta kini mampu berbangga dengan hasil yang dikecapi hasil penat lelah mereka.

“Kalau orang kata kononnya kita memperhambakan peneroka, hamba mana yang ada tanah seluas 10 ekar, hamba mana yang ada rumah batu atau rumah separuh batu ataupun sekurang-kurangnya bahagian depan batu.

“Rezeki tidak datang bergolek, ini semua kerana anda pilih kerajaan yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis mesra bersama warga Felda Jengka 23 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Najib berkata janji pembangkang yang kononnya ingin melupuskan 300,000 hektar tanah Felda Plantations untuk diberi kepada generasi kedua dan seterusnya akan membawa malapetaka yang besar kepada peneroka.

“Sebab 51 peratus pelaburan dalam Felda Plantations adalah milik Koperasi Pembangunan Felda dengan dividennya peneroka dapat sebanyak 14 peratus. Itu lebih tinggi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan amanah saham.

“Dividen ini tidak ada lagilah kalau bagi (tanah) kepada anak cucu. Sebenarnya kita dah kira kepentingan, masa depan anak cucu peneroka,” katanya.

Perdana Menteri berkata usaha kerajaan memajukan masyarakat peneroka itu lebih berlandaskan kepada perjuangan Islam berbanding yang diperjuangkan parti pembangkang.

“Kalau kita nak perjuangkan Islam, Islam yang macam mana, yang miskin? Yang tidak ada tanah? Rumah robek? Itu bukan imej Islam yang diperjuangkan kerajaan, kita nak imej yang gagah perkasa dan hebat di mata dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut bersetuju memberi pertimbangan khas berhubung pembayaran Skim Insentif Tanam Semula kepada peneroka felda dalam Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau iaitu Felda Jengka 22, 23 dan 25.

Katanya perkara tersebut akan dirunding oleh Felda dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan gelanggang futsal terbuka, dewan semai bakti, pusat jalur lebar dan merasmikan pecah tanah kilang biomass Felda Jengka 9 secara maya.

27 February 2011

Wanita Laksana Gerak Kerja Mantap Untuk Rakyat

TEMERLOH, 27 Feb – Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, pergerakannya telah menggerakkan jenteranya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sejak awal lagi dan kini tiba masa untuk melaksanakan gerak kerja akhir bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mempertahankan kerusi DUN tersebut.

“Di Kerdau, Wanita mempunyai gerak kerja yang dipanggil Jalinan Rakyat (JR). Setiap JR akan menjaga 30 orang pengundi. Semua pengundi telahpun dikesan dan kita akan memastikan mereka ini keluar mengundi pada 6 Mac akan datang,” ujarnya.

Jelasnya, Wanita telah bersedia dengan data lengkap setiap pengundi bagi memastikan mereka keluar mengundi nanti. “Kita akan pastikan mereka keluar awal sehingga pukul 12.00 tengahari. Selepas itu kita akan membuat semakan untuk tindakan susulan.

“Sekiranya masih ada pengundi yang tidak keluar mengundi, Wanita akan menyusul mereka ini kerana undi mereka amat penting. Sebab itulah Wanita telah menjalankan gerak kerja awal. Sebelum tarikh mengundi juga, Wanita akan mengesan pengundi luar dan memastikan mereka pulang untuk mengundi,” terangnya.

Kamilia berharap jentera Wanita akan terus memberikan khidmat yang terbaik untuk memastikan kemenangan BN.

“Wanita sentiasa bekerja keras dan sudah pasti pada 6 Mac nanti Wanita akan bergerak lebih agresif. Namun demikian, saya menasihatkan setiap jentera untuk menjaga keselamatan diri. Kita tidak tahu apa akan terjadi atau mungkin tindakan kasar dari pembangkang yang boleh membahayakan kita.

“Oleh itu, tolong pastikan keselamatan diri menjadi aspek utama semasa berkempen dan menjalankan tugas,” katanya kepada UMNO-Online.