BN Kotakan Janji Di Kerdau – MB

TEMERLOH 20 Feb. – Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan pembangunan dan prasarana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau seperti yang janjikan oleh Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim kepada penduduk di kawasan berkenaan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan akan meneliti dan memberikan keutamaan projek yang benar-benar memberikan manfaat kepada mereka.

Katanya, BN tidak membuat janji kosong dan akan mengotakan kesemua janji itu yang dibuat secara berperingkat.

“Maklumat yang diperoleh mendapati setakat ini tiada isu besar di DUN Kerdau melainkan membabitkan masalah tanah, jalan, air dan projek-projek kecil sementara di kawasan peneroka pula berkaitan dengan isu projek tanam semula serta geran tanah.”

“Kerajaan negeri akan tangani segala masalah itu segera bagi keselesaan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jentera BN DUN Kerdau dekat sini semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohd. Said, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar dan ADUN Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Adnan yang juga pengarah pilihan raya kecil BN bagi DUN Kerdau berkata, mana-mana isu tempatan yang dibangkitkan rakyat akan diatasi sebaik mungkin.

“Kita akan bersemuka menemui pengundi bagi mengetahui masalah mereka dan mengatasinya dengan segera.

“Tindakan bersemuka dan berdepan pengundi itu secara tidak langsung akan mendapat maklumat tepat dan masalah sebenar yang mereka hadapi,” katanya.

Menurut Adnan, pihak pembangkang sebenarnya tidak ada isu besar yang boleh dibangkitkan malah BN bersedia menangkis segala tohmahan dan fitnah dilemparkan oleh mereka bagi meraih simpati pengundi.

Katanya, segala tohmahan itu akan dijawab dan tidak boleh dibiarkan kerana ia mengelirukan rakyat serta pengundi.

Mengenai calon BN, Adnan berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan nama calon pada 22 Februari ini di Seri Ketumbit, Kerdau di sini.

“Empat calon yang layak telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih bertanding.

“Siapa yang dipilih akan diterima dan jentera BN akan memastikan kemenangannya,” jelasnya.

DUN Kerdau mempunyai seramai 8,999 pengundi yang membabitkan 89.7 peratus Melayu manakala 4.36 peratus Cina, 3.36 peratus India dan 2.98 peratus kaum lain.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Zaharuddin akibat serangan jantung di rumahnya Sabtu minggu lalu.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: