BN Tak Buat Kempen Syok Sendiri

KUANTAN, 21 Feb – Barisan Nasional (BN) akan mengelak pendekatan kempen “syok sendiri” pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Pengarah pilihan raya kecil itu sebaliknya berkata BN akan menjalankan kempen secara berhemah dan merendah diri serta terus kepada pengundi.

Katanya, jentera BN akan mengunjungi rumah ke rumah bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung sebarang isu dan masalah yang timbul.

“Apa guna kalau kita berceramah, tengok-tengok orang kita juga yang hadir, exco Pemuda Umno berceramah dengan Pemuda Umno, apa faedahnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra pelajar-pelajar anak Pahang dari universiti-universiti di Mesir di sini, hari ini.

Katanya, setiap anggota jentera yang dilengkapi dengan pelbagai maklumat diberikan tugasan untuk meraih sokongan sebilangan pengundi.

Adnan berkata, pendekatan berkenaan bukan baru malah telah memberi impak positif ketika pilihan raya kecil Sanggang pada April 2000.

Ditanya sama ada BN mampu meraih kemenangan dan memperoleh majoriti yang besar, Adnan berkata “kalau kita kata kita yakin, ia terletak pada rakyat, rakyat yang menentukan”.

Bagaimanapun, katanya, BN mampu meraih kemenangan berdasarkan sifat penduduk DUN Kerdau yang bukan anti pihak berkuasa, setia dan bijak dalam membuat keputusan.

“Dengan harga kelapa sawit dan getah yang begitu baik, saya ingat sukarlah orang nak meracun fikiran pengundi-pengundi,” katanya.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Feb ini.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: