Faktor Calon Mampu Beri Kemenangan Besar

TEMERLOH, 26 Feb – Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan faktor calon mampu memberikan kejayaan besar kepada parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad dilihat mempunyai keperibadian yang amat disenangi rakyat.

“Calon kita saya kenali rapat dan beliau seorang yang cukup bertanggungjawab dan saya tahu daripada calon-calon yang dipertimbangkan di Kerdau kalau nak dibandingkan, beliau merupakan calon yang diterima ramai.

“Semua faktor menunjukkan peluang kita untuk menang di sini cerah cuma saya harap gerak kerja dan cara bagaimana kita berkempen boleh menjurus ke arah kemenangan yang besar pada kali ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon DUN berkenaan di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun mengingatkan pemimpin dan penyokong parti politik yang bertanding di kawasan itu agar tidak mempertaruhkan keamanan dan ketenteraman yang dikecapi negara ini hanya kerana terlalu berpolitik.

Naib Presiden MIC Datuk S.K. Devamany berkata Syed Ibrahim memahami keperluan masyarakat India kerana mempunyai hubungan rapat dengan kaum India di Kerdau.

“Beliau dulu hidup dalam persekitaran masyarakat India di sini dan beliau juga mempunyai sifat yang peramah, lembut serta rajin dan boleh memperjuangkan nasib kaum India,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pemilihan Syed Ibrahim sebagai calon BN memperlihatkan parti itu memberi peluang kepada pemimpin pelapis untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Beliau merupakan golongan pelapis dan orang muda, saya yakin beliau akan diterima baik oleh pengundi khususnya golongan muda,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rakyat khususnya masyarakat Cina perlu memilih calon BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan di Kerdau.

“Penduduk di sini perlu melihat bahawa jentera BN bukan hanya datang untuk memancing undi sahaja tetapi yang penting mereka turun padang untuk bersama rakyat, membela masa depan dan nasib rakyat di Kerdau,” katanya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata hanya BN yang mampu menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat berbanding pembangkang yang hanya tahu menabur pembohongan dan janji palsu.

“BN juga berjanji pada setiap pilihan raya tetapi semua janji-janji itu dilaksanakan walaupun ada yang agak terlewat,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: