Wanita Laksana Gerak Kerja Mantap Untuk Rakyat

TEMERLOH, 27 Feb – Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, pergerakannya telah menggerakkan jenteranya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sejak awal lagi dan kini tiba masa untuk melaksanakan gerak kerja akhir bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mempertahankan kerusi DUN tersebut.

“Di Kerdau, Wanita mempunyai gerak kerja yang dipanggil Jalinan Rakyat (JR). Setiap JR akan menjaga 30 orang pengundi. Semua pengundi telahpun dikesan dan kita akan memastikan mereka ini keluar mengundi pada 6 Mac akan datang,” ujarnya.

Jelasnya, Wanita telah bersedia dengan data lengkap setiap pengundi bagi memastikan mereka keluar mengundi nanti. “Kita akan pastikan mereka keluar awal sehingga pukul 12.00 tengahari. Selepas itu kita akan membuat semakan untuk tindakan susulan.

“Sekiranya masih ada pengundi yang tidak keluar mengundi, Wanita akan menyusul mereka ini kerana undi mereka amat penting. Sebab itulah Wanita telah menjalankan gerak kerja awal. Sebelum tarikh mengundi juga, Wanita akan mengesan pengundi luar dan memastikan mereka pulang untuk mengundi,” terangnya.

Kamilia berharap jentera Wanita akan terus memberikan khidmat yang terbaik untuk memastikan kemenangan BN.

“Wanita sentiasa bekerja keras dan sudah pasti pada 6 Mac nanti Wanita akan bergerak lebih agresif. Namun demikian, saya menasihatkan setiap jentera untuk menjaga keselamatan diri. Kita tidak tahu apa akan terjadi atau mungkin tindakan kasar dari pembangkang yang boleh membahayakan kita.

“Oleh itu, tolong pastikan keselamatan diri menjadi aspek utama semasa berkempen dan menjalankan tugas,” katanya kepada UMNO-Online.

Leave a comment