Pembinaan Jambatan Kuala Krau Satu “Rahmat” Kepada Penduduk Sekitar

TEMERLOH, 28 Feb – Kalau dilihat daripada fizikalnya, Jambatan Kuala Krau di sini tak jauh bezanya dengan jambatan-jambatan lain yang sedia ada di negeri Pahang ini.

Bagi penduduk, jambatan dua lorong sepanjang 490 meter berharga RM64 juta itu yang merentangi sungai Pahang bagi menghubungkan Bandar Tun Razak di Jengka, Kuala Krau dan Jerantut, yang dibuka setahun yang lalu, merupakan satu rahmat.

Ini kerana projek kerajaan Barisan Nasional (BN) itu telah memberi impak yang amat besar kepada kehidupan mereka termasuk daripada segi ekonomi.

Norrul Haya Abdul Samad, 59, ketika ditemui Bernama berkata pembinaan jambatan itu amat memberi kesan kepada penduduk sekitar daripada segi memendekkan masa perjalanan dan kos petrol dalam mengangkut hasil pertanian seperti kelapa sawit dan getah selain sebagai jalan alternatif untuk ke Bandar Pusat Jengka atau Maran.

Menurutnya, sebelum pembinaan jambatan itu, penduduk di kedua-dua belah sungai iaitu di Rumpun Makmur yang berhampiran Jengka dan di Kuala Krau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bot penambang.

Norrul Haya yang tinggal di Kampung Masjid berdekatan dengan jambatan itu berkata Kuala Krau itu berkata bot penambang yang mengenakan bayaran RM1 seorang bagi laluan sehala dan RM2 sehala bagi mereka yang membawa motosikal pula hanya beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang.

“Susahlah…kalau ada kes-kes kecemasan seperti kematian di waktu malam, tak ada pilihan kecuali naik kereta atau motosikal ikut jalan jauh. Tapi bila ikut jalan darat jauhnya macam “bercinta”. Nak sampai pun kira-kira lebih satu jam, bayangkanlah. Tapi sekarang dah ada jambatan lain sikit, semua dah senang, dekat,” katanya.

Katanya sejak jambatan itu dibuka, jalan-jalan utama di sekitar kampung itu dan kampung berhampiran mula dinaik taraf dan dilebarkan.

Selain itu, katanya nilai pasaran tanah di kawasan berkenaan juga melambung sehingga RM150,000 bagi tanah seluas 0.4 hektar berbanding kira RM40,000 sebelum itu.

Shahrizal Aziz, 26, dari Kampung Pulau Raya pula berkata pembinaan jambatan yang diharap-harapkan penduduk sekian lama itu telah banyak menjimatkan masa perjalanan dari Rumpun Makmur ke bandar Temerloh daripada satu jam kepada setengah jam.

Bekerja sebagai mekanik motosikal, katanya sejak jambatan dibuka, kedai tempatnya bekerja juga semakin sibuk apabila terdapat penambahan bilangan motosikal yang perlu dibaiki.

“Saya bersyukurlah sebab adanya jambatan ini, saya pun ada kerja sebenarnya. Kalaulah kerajaan tak buat jambatan, kamilah yang akan menanggung susah dan tak akan ada perubahan di tempat ini,” katanya.

Anak muda itu juga bersyukur kerana kawasan itu tidak diperintah pembangkang yang menurutnya pembangkang hanya tahu berjanji dan tidak mempunyai keupayaan untuk memenuhi setiap kehendak rakyat.

Nor Fadhilah Mohd Norani, 26, pula berkata adalah tidak tepat bagi mana-mana pihak untuk menuduh projek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebagai membazir.

“Macam jambatan ini, taklah membazir. Ia menyenangkan kami penduduk di kedua-dua belah sungai ini untuk ke Kuala Krau dan Jerantut ataupun ke Jengka. Kerajaan dah banyak tolong rakyat,” katanya.

Seorang pengusaha stesen minyak, Yap Siew Kian, 45, juga mengaku merasai perubahan khususnya daripada aspek penjualan petrol dan pertambahan kenderaan di kawasan pekan itu selepas jambatan itu dibina.

“Stesen ini sangat sibuk sekarang. Bukan sebab adanya pilihan raya (kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau pada 6 Mac) tetapi sejak ada jambatan itu, orang dari Rumpun Makmur, Felda Jengka 22, 23 dan 25 pun ada datang beli minyak sini.

“Sebelum ini hanya orang di sekitar Kuala Krau sahaja yang membeli minyak. Sekarang permintaan untuk minyak petrol sangat tinggi di sini,” katanya sambil menambah pembinaan jambatan itu oleh BN telah melipatgandakan rezekinya.

K.Mugunthan, 33, kerani di sebuah kedai alat ganti kereta dan lori di pekan Kuala Krau berkata kedai itu yang dibuka setahun lalu telah mendapat sambutan termasuk daripada penduduk di sekitar Jengka dan Jerantut bagi mendapatkan alat ganti kenderaan.

Jambatan Kuala Krau yang dirasmikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 8 Mac 2010, memberi manfaat kepada lebih 60,000 penduduk di sekitar daerah Jerantut, Temerloh dan Maran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: