Jangan Pilih Wakil Rakyat Yang Salah – TPM

Kuala Krau, 4 Mac- Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau diingatkan agar tidak merencatkan usaha pembangunan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memilih wakil rakyat yang salah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat seharusnya memilih calon yang boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pusat untuk mempermudahkan menyelesaikan masalah dan keperluan mereka.

“Adalah lebih elok memilih calon yang boleh bekerjasama dengan pimpinan negeri dan pusat untuk mempermudahkan urusan membantu rakyat daripada segi ekonomi, prasarana, pendidikan, perubatan dan kesihatan dan sebagainya. Ini kerana masih ada ruang untuk kawasan ini dibangun dan dimajukan,” ujarnya ketika Program Ramah Mesra bersama Masyarakat di Kampung Rumpun Makmur, petang tadi.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin mengingatkan jentera BN agar bekerja lebih keras dalam tempoh 48 jam terakhir berkempen. Ini adalah satu tempoh masa yang kritikal, dan menjadi penentu kepada kemenangan calon BN, 6 Mac nanti.

“Tempoh 48 jam ini kritikal, dulu kita memperoleh majoriti besar tetapi jangan abaikan kecenderungan pada tempoh terakhir ini. Saya yakin pengundi di kawasan Kerdau memahami segala tindakan kerajaan khususnya usaha transfromasi dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang bertujuan membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

Justeru, rakyat dan penduduk Kerdau khususnya masyarakat di Rumpun Makmur ini perlu menterjemahkan kefahaman itu dengan menyokong calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Bila kita memangkah (calon BN) maknanya kita sokong usaha untuk memerangi jenayah, kita sokong usaha memperbaiki pendidikan, infrastruktur,” tambahnya lagi.

Muhyiddin berkata, konsep pembangunan yang dirangka BN mengimbangi antara dunia dan akhirat, sekali gus ia penting dalam kehidupan rakyat dan memajukan negara, begitu juga dasar yang digariskan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Oleh itu, bagi membolehkan proses pembangunan itu diteruskan, calon BN adalah yang terbaik kerana kita mahu memudahkan semua urusan untuk membantu rakyat sama ada daripada segi ekonomi, pendidikan, prasarana, sosial, perkhidmatan, kesejahteraan rakyat, kebajikan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman pada pilihan raya kecil terdahulu, ukuran penerimaan rakyat kepada BN semakin meningkat apabila memenangi hampir setiap pilihan raya kecil yang ditandingi.

“Kini di DUN Merlimau dan Kerdau, saya percaya dengan situasi sekarang BN boleh meraih kemenangan yang lebih besar berbanding 2008,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pada majlis itu, Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said turut mengumumkan kelulusan kerajaan membina sebuah sekolah kebangsaan bernilai RM6 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan sebuah masjid baru bernilai RM2 juta bagi kemudahan penduduk Rumpun Makmur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: