Archive for ‘Pendapat’

8 March 2011

Kemenangan Jadi Pendorong Untuk PRU-13

TEMERLOH, 6 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kemenangan wakil Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau membuktikan rakyat menolak parti pembangkang yang terkenal dengan fitnah dan janji-janji kosong.

“Semasa tempoh berkempen, banyak isu-isu pembohongan yang dibangkitkan oleh pembangkang seperti kerajaan akan bankrap dan isu Felda kononnya menjadi hamba kerajaan. Kini jelas sudah, rakyat tahu pembangkang hanya pandai berjanji tetapi tidak pandai menunaikan.

“Pembangkang boleh melupakan semua fitnah mereka terhadap kerajaan dan selepas ini saya berharap rakyat terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan tidak terpengaruh dengan fitnah pembangkang,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan ucapan tahniah di atas kebijaksanaan pengundi DUN Kerdau kerana mengundi Syed Ibrahim sebagai wakil rakyat yang baru dan menang dengan majoriti yang besar.

BN memenangi PRK Kerdau dengan jumlah 5,060 undi dan kemenangan tersebut dianggap sebagai pendorong kepada kerja keras semua jentera BN.

Ketika ditanya mengenai harapan beliau terhadap Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berdasarkan kemenangan di Kerdau ini, katanya, isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi di sini amat jelas bahawa mereka telah kembali mempercayai BN untuk terus menerajui negara.

“Kemenangan ini harus kita hargai. Kita tidak boleh leka dan mesti terus bekerja keras seolah-olah PRU akan diadakan esok.

“Saya yakin, kemenangan di Kerdau dan Merlimau adalah petanda bahawa kita akan menang besar di PRU 13 seperti semasa PRU 2004,” ujarnya kepada UMNO-Online. – MediaUMNO

 

Advertisements
5 March 2011

Tindakan Pembangkang Wujudkan Pergolakan Politik, Bahayakan Negara

KERDAU, 5 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sikap pembangkang yang cuba mewujudkan pergolakan politik seperti yang terjadi di beberapa negara Asia Barat adalah satu tindakan yang amat membahayakan keselamatan negara.

“Sememangnya telah menjadi trend pembangkang sekarang ini mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat provokasi terutamanya yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum-kaum di negara ini.

“Saya percaya dan yakin, trend seumpama ini bukan sahaja untuk menang pilihan raya malah lebih daripada itu. Tujuan mereka hanya satu iaitu ingin menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan pucuk pimpinan semata-mata ingin berkuasa.

“Mereka tidak kisah impak daripada perbuatan mereka boleh menyebabkan rakyat yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni menjadi kucar kacir. Sebab itu mereka sering memperbesarkan isu rasis dan interlok,” jelas Rosnah.

Ujarnya lagi, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pembangkang inilah, pergerakan haram Hindraf berani mengadakan tunjuk perasaan mencemarkan imej negara.

“Sebenarnya pembangkang hanya mahu mempergunakan hindraf demi kepentingan mereka. Apabila pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pergerakan haram ini, mereka mula memainkan isu kerajaan zalim.

“Zalimkah kerajaan sekiranya ingin melindungi negara dan rakyat dari gangguan anasir yang cuba diwujudkan oleh pembangkang. Kerajaan hanya mementingkan keselamatan rakyat,” katanya.

Katanya, ini jelas menunjukkan pembangkang ketandusan idea dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadaikan keselamatan rakyat sekaligus negara semata-mata kepentingan diri sendiri.

“Telah terbukti, kerajaan BN yang mampu menjaga kepentingan dan membuat yang terbaik untuk rakyat sedangkan pembangkang hanya menyebabkan negara kucar kacir.

“Saya berharap, rakyat sedar akan agenda tersembunyi pembangkang. Mereka tidak pernah telus dan sentiasa menimbulkan masalah. Saya nasihatkan orang ramai agar jangan terlibat dengan agenda pembangkang yang mahu menimbulkan huru hara,” ujarnya kepada UMNO-Online.

5 March 2011

Hari Terakhir, Pergi Berkempen Di Kubu Lawan – Kamalanathan

Kuala Krau, 5 Mac- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad dilihat sebagai calon seorang calon yang mempunyai aura yang cukup hebat untuk merealisasikan impian kita memenangi sekaligus semula kerusi DUN Kerdau, 6 Mac ini.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, apa yang dilakukan oleh Syed Ibrahim mengingatkan semula gerak kerjanya ketika bertanding di Parlimen Hulu Selangor tahun lepas.

“Saya pasti dengan cara bekerjanya, saya nampak dia memang seorang yang kuat bekerja.  Ini kerana dalam pilihan raya kecil, kita harus mempunyai tenaga yang kuat dan mencukupi kerana kita harus berjumpa dengan seluruh masyarakat dalam  kawasan pilihan. Kita tidak boleh tertinggal seorang pun pengundi kita,” ujarnya ketika ditemui dalam program di Kampung Ketam.

Tambahnya, kewibawaan dan penampilan Syed Ibrahim amat disenangi penduduk khususnya di kawasan terbabit dan nilai kepimimpinan sedemikian amat diperlukan sekarang ini.

“Kita perlukan seorang yang dapat memberi perkhidmatan yang baik. Kita perlukan seseoarang yang dapat menterjemahkan keperluan rakyat kepada kerajaan BN kerana kerajaan BN sahajalah yang dapat bawa pembangunan, pembaharuan dan kejayaan, bukan sahaja kepada seluruh Malaysia tetapi khas rakyat di Kerdau ini,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati Syed Ibrahim agar melakukan ‘walkabout’ ke tempat yang mempunyai ramai pengundi selain kawasan-kawasan yang dilabelkan sebagai kawasan pembangkang juga jangan diabaikan.

“Kalau boleh, pada hari terakhir ini kita pergi kubu kuat lawan. Kita pergi ke kubu kuat mereka bukan untuk bergaduh dengan mereka sebaliknya kita pergi ke sana untuk memberi keyakinan dan memujuk untuk  mengundi kita.

Kalau kita pergi ke tempat mereka ini bermakna bila kita menang nanti, mereka akan faham bahawa kita akan terus memberikan perkhidmatan kepada mereka juga kerana akhirnya selepas pilihan raya nanti, kita harus memberikan perkhidmatan kita kepada seluruh pengundi dan masyarakat dalam kawasan kita tersebut tanpa mengira apa parti sekalipun,” tambahnya lagi.

4 March 2011

Khairy Nafi Pemuda BN Cetus Kekecohan Ceramah Pembangkang

KUALA KRAU, 4 Mac – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin hari ini menafikan kekecohan yang berlaku ketika ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Felda Jengka 22  bukanlah berpunca daripada pergerakan berkenaan.

Sebaliknya beliau memberitahu pemuda tempatan yang kebetulan penggerak jentera BN telah diprovokasi awal oleh sekumpulan Pemuda Pas dan PKR  dalam usaha memburukkan jentera BN pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

“Saya dimaklumkan malam itu provokasi bermula apabila sekumpulan daripada pemuda Pas dan pemuda PKR  telah ‘provoke’ dan menyerang pemuda tempatan yanga ada disitu dan kebetulan pemuda tempatan adalah penggerak dan aktivis Pemuda BN.

“Pemuda kita memang ada di kawasan tersebut sebab ceramah itu berlaku di kawasan yang berhampiran dengan bilik gerakan BN. Jadi apabila budak-budak ini ‘diperovoke’  dan diserang, ada yang  menolak budak-budak kita maka mereka bertindak balas.

“Dan kita sebenarnya tidak pun keluarkan arahan untuk buat perangai seperti baling botol, baling batu dan sebagainya dan kita telah ingatkan jentera kita agar jaga displin setiap waktu dan jangan sesekali  bertindak ganas atau punbertindak dengan terlalu agresif. Apa pun saya telah minta agar perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekecohan yang berlaku di Felda Jengka 22 apabilla terdapat sedikit insiden antara penyokong pembangkang dan BN.

Terdahulu sebelum itu beliau dan jenterannya yang lain membaik pulih rumah penduduk di Felda Jengka 23, di sini, hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata  pembangkang hari ini cukup terdesak kerana ceramah  Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sambutan yang baik.

“Situasi itu menyebabkan mereka rasa terdesak sebab tidak ada penerimaan di kalangan penduduk tempatan. Jadi apabila mereka melihat ceramah mereka kurang sambutan, mereka cuba alihkan isu dengan cuba mewujudkan keadaan yang tegang  dengan jentera BN. Itu sebenarnya berlaku semalam,” katanya.

4 March 2011

Jangan Jadikan Wanita Sebagai Kambing Hitam – Sharizat

KG GADOK, 4 Mac – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menasihatkan agar parti pembangkang tidak menjadikan Pergerakan Wanita sebagai kambing hitam di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau dan Merlimau hanya kerana mereka kehabisan idea untuk memburukkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Mereka sebenarnya sudah terlalu terdesak dan tiada isu sebab itu mereka menuduh dalaman Wanita BN bergolak dan cuba memburukkan imej Wanita di mata masyarakat.

“Saya turut kesal apabila mendapat laporan jentara wanita Pas menyamar sebagai Wanita BN dan pergi rumah ke rumah untuk memburukkan kerajaan. Tolonglah berhentikan sikap buruk yang memalukan ini. Saya kesal dengan sikap wanita Pas yang sanggup menyamar semata-mata untuk meraih undi,” katanya ketika melancarkan jentera Jalinan Rakyat BN di Kampung Gadok, di sini, hari ini.

Pelancaran serentak jentera tersebut yang dipanggil ‘Gelombang Merah’ mendapat sambutan yang amat baik di kalangan Wanita BN malah penduduk setempat menerima kehadiran mereka dengan baik.

“Saya bangga dengan prestasi kerja Wanita BN. Mereka inilah yang menjadi tulang belakang pada hari pengundian nanti untuk membawa keluar semua pengundi. Gerak kerja Wanita BN membantu kejayaan BN baik di sini ataupun di Merlimau. Mereka adalah srikandi sebenar,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, beliau turut berpesan kepada para pengundi agar jangan bereksperimen untuk memilih kerajaan.

“Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mendahulukan rakyat dan memastikan semua masyarakat hidup dalam aman dan damai.

“Jadi, buat apa kita hendak bereksperimen dan meletakkan masa hadapan kita menjadi susah. Jagalah kerajaan yang ada ini dengan baik. Sekali lagi saya tegaskan, jangan sesekali bereksperimen,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut, anakanda Sultan Pahang, Tunku Muhaini Sultan Ahmad Syah sebagai suntikan semangat kepada jentera wanita untuk terus membantu BN dalam meraih undi.

4 March 2011

Sanggup Tinggal Pendapatan Lumayan Hasil Getah Demi Pastikan BN Menang

TEMERLOH, 4 Mac – Jika penoreh getah lain berlumba-lumba mengejar pendapatan lumayan hasil jualan getah ekoran kenaikan harga komoditi itu, lain pula ceritanya bagi beberapa penoreh getah di Kampung Kerai di sini.

Pemuda yang mahu dikenali sebagai Dee, 37, berkata pendapatannya yang boleh mencecah RM500 sehari itu, sanggup ditinggalkan demi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Ahad ini yang sekaligus membolehkan agenda pembangunan di kampungnya diteruskan.

“Saya dengan rela hati turun padang membantu BN dengan memasang bendera di sekitar kampung saya tidak kira siang atau pun malam demi memastikan BN menang. Kami di kampung berasa amat selesa di bawah pentadbiran BN,” katanya dengan penuh semangat.

Dee berkata walaupun sedar tugasan itu mengundang risiko namun beliau dan rakan-rakannya sanggup melakukan tugas itu secara sukarela.

“Kalau nak kira bayaran, dah banyak dah kita dapat manfaat daripada bantuan kerajaan. Jadi bayaran itu bukan masalahnya. Dapat air dan sekotak rokok pun kami dah gembira,” katanya yang turut disokong rakannya Rozaimi Mohd Ali, 24.

Rozaimi berkata beliau tidak kisah terpaksa bekerja di tengah terik matahari dan berembun untuk memasang bendera dan poster calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, semata-mata hanya mahukan BN terus menguasai DUN berkenaan.

“Apa yang kerajaan buat sekarang dah bagus. Bagi golongan muda, pelbagai aktiviti dirancang kerajaan. Jadi tak ada sebab kenapa saya tak boleh memerah keringat membantu kerajaan.

“Kita di sini bukan pandang duit sangat. Yang penting semangat kepada parti yang menjamin kemajuan kampung kami,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Syed Ibrahim dan calon PAS Hassanuddin Salim, 43, diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN pada 12 Feb lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Ahad ini sebagai tarikh pengundian.

2 March 2011

Syed Ibra Mampu Jadi Wakil Rakyat Yang Boleh Berbakti Dan Berkhidmat

Kuala Krau, 2 Mac- Pertaruhan Barisan Nasional meletakkan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad sebagai calon BN di Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, 6 Mac ini merupakan satu tindakan dan pilihan yang terbaik untuk berbakti masyarakat di di Kerdau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol. Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pengundi Kerdau tidak rugi dan malah mendatangkan faedah kepada masyarakat Kerdau apabila memilih Syed Ibra sebagai wakil kepada rakyat di DUN Kerdau ini.

“Beliau bukan sahaja mempunyai keperibadian yang baik, beliau seorang yang sangat komited dengan tugas dan bagi saya, beliau akan sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap pekerjaan yang beliau akan lakukan.

Tuan Syed Ibrahim ini sebelum ini kita mengenalinya sebagai penceramah agama, yang saya kira mempunyai pengetahuan yang mendalam dan tidak akan memperalatkan agama untuk tujuan peribadi. Agama dan ilmu yang diperolehi beliau sudah pasti akan digunakan oleh beliau, khususnya untuk membela rakyat di kawasan Kerdau,” ujarnya kepada UMNO-Online ketika ditemui di Bilik Gerakan BN petang tadi.

Sehubungan dengan itu, semua pengundi-pengundi di Kerdau, jangan melepaskan peluang untuk diwakili seorang wakil dari BN yang akan bertanggungjawab terhadap pengundi di kawasannya.

“Saya yakin, dengan pengalaman dan ilmunya, dia mampu menjadi wakil yang cukup sempurna untuk berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat di kawasan DUN Kerdau,” tambahnya

2 March 2011

Undi Pos DUN Kerdau Bermula Esok

KERDAU, 2 Mac – Proses pengundian pos pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau akan berlangsung esok dengan kertas-kertas undi pos akan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 10 pagi.

Jurucakap SPR ketika dihubungi Bernama berkata seramai 54 orang pengundi pos terdiri daripada 15 anggota polis dan 39 petugas SPR akan mengundi bermula pada 3 hingga 5 petang. “Anggota polis akan mengundi di Balai Polis Kerdau manakala petugas SPR akan mengundi di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh di Temerloh esok,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Keputusan undi pos akan diketahui serentak selepas proses pengundian yang akan berlangsung pada 6 Mac ini. Pilihan raya kecil DUN Kerdau menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN diwakil Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dan PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang Hasanuddin Salim, 43.

Ia diadakan ekoran kematian penyandang kerusi DUN itu Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 12 Feb lepas.

2 March 2011

Undi Pas Untuk Perubahan Satu Pembohongan – Razali

KUALA KRAU 2 Mac – Pengundi  Kerdau disaran tidak terpengaruh dan tertipu dengan kempen pembangkang yang merayu para pengundi memberikan kemenangan kepada mereka kononnya untuk membawa suara rakyat ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ibrahim berkata itu merupakan satu pembohongan yang nyata dan jelas kerana mereka tidak mampu untuk melaksanakan sepertimana yang dicanang dan diwar-warkan.

Soal  beliau  apa yang boleh dilaksanakan jika mereka hanya sekadar memenangi  satu kerusi kerana negeri yang diperintah oleh parti pembangkang seperti  Selangor, Kedah serta beberapa negeri lain dibawah kuasa mereka tidak menampakkan apa-apa kemajuan.

“Apa sangat satu kerusi boleh buat sesudah rakyat Selangor memberikan satu kerajaan kepada mereka pun gagal, member kerajaan di Kedah dan Pulau Pinang pun mereka gagal, saya tidak percaya satu kerusi boleh membuat perubahan kepada Kerdau.

“Yang mereka mahukan adalah kemenangan dalam pilihan raya kecil yang mungkin terakhir sebelum pilihan raya umum. Jadi mereka nak katakan nanti rakyat  kembali bersama mereka. Itu sebenarnya yang mereka mahukan dan rakyat khususnya pegundi saya minta jangan tertipu dengan pujuk rayu kononnya dengan memberi  kemenangan di Kerdau , mereka akan membuat perubahan besar,” katanya.

Kata beliau lagi jika pembangkang menang dikhuatiri  akan tercicir penduduk dan pengundi di kawasan ini.

“Jadi ini yang saya takut. Namun saya penuh yakin dan percaya pengundi sudah bijak dan matang untuk membuat penilaian dan pembangkang nampak sangat terdesak untuk menunjukkan bahawa rakyat masih bersama mereka,” katanya.

1 March 2011

Suram Atau Tidak Kempen Pas, Pemuda Tetap Giat Berkempen – Rodzuan

Kuala Krau, 1 Mac – Pas angkat bendera putih….begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau apabila kempen mereka khususnya ceramah yang menjadi “makanan utama” pada setiap kali pilihan raya kecil tidak seghairah sebelum ini.

Apakah mereka sedar bahawa peluang mereka cukup tipis dan perkara itu telah melemahkan jentera mereka untuk bergiat dengan lebih aktif dan hanya membiarkan calonya, Hassanuddin Salim terkontang-kanting keseorangan berkempen.

Mengulas mengenai situasi berkenaan, Ketua Pemuda Kuala Krau Rodzuan Zaaba berkata pihaknya tidak akan mengambil  perkara itu sebagai satu yang serius sebaliknya memberi tumpuan terhadap apa yang telah dirancang dan akan dilaksanakan.

“Suram atau tidak suram kempen Pas, ianya langsung tidak memberi apa-apa terhadap kita kerana BN akan terus melipatgandakan usaha termasuklah jentera Pemuda di segenap peringkat yang telah bergerak sejurus penamaan calon Sabtu lalu.

“Kita sedikit pun tidak akan ambil kisah hal mereka. Yang penting kita akan temui seramai mungkin pengundi  muda dalam usaha menterjemahkan kemenangan yang besar pada 6 Mac ini dan itu adalah keutamaan kita,” katanya.

Mengulas lebih lanjut beliau seterusnya berkata sokongan pengundi muda memperlihatkan perkembangan yang cukup menarik dan ianya member suntikan semangat kepada jentera untuk bergerak dnegan lebih giat lagi.

“Kita dan tetapkan komitmen kita dalam tempoh berkempen yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, kita tidak akan menoleh ke belakang sebaliknya mara ke hadapan dengan iltizam dan semangat BN menang dengan selesa dan majoriti yang besar,” katanya.