5 March 2011

Tindakan Pembangkang Wujudkan Pergolakan Politik, Bahayakan Negara

KERDAU, 5 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sikap pembangkang yang cuba mewujudkan pergolakan politik seperti yang terjadi di beberapa negara Asia Barat adalah satu tindakan yang amat membahayakan keselamatan negara.

“Sememangnya telah menjadi trend pembangkang sekarang ini mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat provokasi terutamanya yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum-kaum di negara ini.

“Saya percaya dan yakin, trend seumpama ini bukan sahaja untuk menang pilihan raya malah lebih daripada itu. Tujuan mereka hanya satu iaitu ingin menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan pucuk pimpinan semata-mata ingin berkuasa.

“Mereka tidak kisah impak daripada perbuatan mereka boleh menyebabkan rakyat yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni menjadi kucar kacir. Sebab itu mereka sering memperbesarkan isu rasis dan interlok,” jelas Rosnah.

Ujarnya lagi, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pembangkang inilah, pergerakan haram Hindraf berani mengadakan tunjuk perasaan mencemarkan imej negara.

“Sebenarnya pembangkang hanya mahu mempergunakan hindraf demi kepentingan mereka. Apabila pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pergerakan haram ini, mereka mula memainkan isu kerajaan zalim.

“Zalimkah kerajaan sekiranya ingin melindungi negara dan rakyat dari gangguan anasir yang cuba diwujudkan oleh pembangkang. Kerajaan hanya mementingkan keselamatan rakyat,” katanya.

Katanya, ini jelas menunjukkan pembangkang ketandusan idea dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadaikan keselamatan rakyat sekaligus negara semata-mata kepentingan diri sendiri.

“Telah terbukti, kerajaan BN yang mampu menjaga kepentingan dan membuat yang terbaik untuk rakyat sedangkan pembangkang hanya menyebabkan negara kucar kacir.

“Saya berharap, rakyat sedar akan agenda tersembunyi pembangkang. Mereka tidak pernah telus dan sentiasa menimbulkan masalah. Saya nasihatkan orang ramai agar jangan terlibat dengan agenda pembangkang yang mahu menimbulkan huru hara,” ujarnya kepada UMNO-Online.

5 March 2011

Hari Terakhir, Pergi Berkempen Di Kubu Lawan – Kamalanathan

Kuala Krau, 5 Mac- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad dilihat sebagai calon seorang calon yang mempunyai aura yang cukup hebat untuk merealisasikan impian kita memenangi sekaligus semula kerusi DUN Kerdau, 6 Mac ini.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, apa yang dilakukan oleh Syed Ibrahim mengingatkan semula gerak kerjanya ketika bertanding di Parlimen Hulu Selangor tahun lepas.

“Saya pasti dengan cara bekerjanya, saya nampak dia memang seorang yang kuat bekerja.  Ini kerana dalam pilihan raya kecil, kita harus mempunyai tenaga yang kuat dan mencukupi kerana kita harus berjumpa dengan seluruh masyarakat dalam  kawasan pilihan. Kita tidak boleh tertinggal seorang pun pengundi kita,” ujarnya ketika ditemui dalam program di Kampung Ketam.

Tambahnya, kewibawaan dan penampilan Syed Ibrahim amat disenangi penduduk khususnya di kawasan terbabit dan nilai kepimimpinan sedemikian amat diperlukan sekarang ini.

“Kita perlukan seorang yang dapat memberi perkhidmatan yang baik. Kita perlukan seseoarang yang dapat menterjemahkan keperluan rakyat kepada kerajaan BN kerana kerajaan BN sahajalah yang dapat bawa pembangunan, pembaharuan dan kejayaan, bukan sahaja kepada seluruh Malaysia tetapi khas rakyat di Kerdau ini,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati Syed Ibrahim agar melakukan ‘walkabout’ ke tempat yang mempunyai ramai pengundi selain kawasan-kawasan yang dilabelkan sebagai kawasan pembangkang juga jangan diabaikan.

“Kalau boleh, pada hari terakhir ini kita pergi kubu kuat lawan. Kita pergi ke kubu kuat mereka bukan untuk bergaduh dengan mereka sebaliknya kita pergi ke sana untuk memberi keyakinan dan memujuk untuk  mengundi kita.

Kalau kita pergi ke tempat mereka ini bermakna bila kita menang nanti, mereka akan faham bahawa kita akan terus memberikan perkhidmatan kepada mereka juga kerana akhirnya selepas pilihan raya nanti, kita harus memberikan perkhidmatan kita kepada seluruh pengundi dan masyarakat dalam kawasan kita tersebut tanpa mengira apa parti sekalipun,” tambahnya lagi.

4 March 2011

Khairy Nafi Pemuda BN Cetus Kekecohan Ceramah Pembangkang

KUALA KRAU, 4 Mac – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin hari ini menafikan kekecohan yang berlaku ketika ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Felda Jengka 22  bukanlah berpunca daripada pergerakan berkenaan.

Sebaliknya beliau memberitahu pemuda tempatan yang kebetulan penggerak jentera BN telah diprovokasi awal oleh sekumpulan Pemuda Pas dan PKR  dalam usaha memburukkan jentera BN pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

“Saya dimaklumkan malam itu provokasi bermula apabila sekumpulan daripada pemuda Pas dan pemuda PKR  telah ‘provoke’ dan menyerang pemuda tempatan yanga ada disitu dan kebetulan pemuda tempatan adalah penggerak dan aktivis Pemuda BN.

“Pemuda kita memang ada di kawasan tersebut sebab ceramah itu berlaku di kawasan yang berhampiran dengan bilik gerakan BN. Jadi apabila budak-budak ini ‘diperovoke’  dan diserang, ada yang  menolak budak-budak kita maka mereka bertindak balas.

“Dan kita sebenarnya tidak pun keluarkan arahan untuk buat perangai seperti baling botol, baling batu dan sebagainya dan kita telah ingatkan jentera kita agar jaga displin setiap waktu dan jangan sesekali  bertindak ganas atau punbertindak dengan terlalu agresif. Apa pun saya telah minta agar perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekecohan yang berlaku di Felda Jengka 22 apabilla terdapat sedikit insiden antara penyokong pembangkang dan BN.

Terdahulu sebelum itu beliau dan jenterannya yang lain membaik pulih rumah penduduk di Felda Jengka 23, di sini, hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata  pembangkang hari ini cukup terdesak kerana ceramah  Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sambutan yang baik.

“Situasi itu menyebabkan mereka rasa terdesak sebab tidak ada penerimaan di kalangan penduduk tempatan. Jadi apabila mereka melihat ceramah mereka kurang sambutan, mereka cuba alihkan isu dengan cuba mewujudkan keadaan yang tegang  dengan jentera BN. Itu sebenarnya berlaku semalam,” katanya.

4 March 2011

Jangan Pilih Wakil Rakyat Yang Salah – TPM

Kuala Krau, 4 Mac- Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau diingatkan agar tidak merencatkan usaha pembangunan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memilih wakil rakyat yang salah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat seharusnya memilih calon yang boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pusat untuk mempermudahkan menyelesaikan masalah dan keperluan mereka.

“Adalah lebih elok memilih calon yang boleh bekerjasama dengan pimpinan negeri dan pusat untuk mempermudahkan urusan membantu rakyat daripada segi ekonomi, prasarana, pendidikan, perubatan dan kesihatan dan sebagainya. Ini kerana masih ada ruang untuk kawasan ini dibangun dan dimajukan,” ujarnya ketika Program Ramah Mesra bersama Masyarakat di Kampung Rumpun Makmur, petang tadi.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin mengingatkan jentera BN agar bekerja lebih keras dalam tempoh 48 jam terakhir berkempen. Ini adalah satu tempoh masa yang kritikal, dan menjadi penentu kepada kemenangan calon BN, 6 Mac nanti.

“Tempoh 48 jam ini kritikal, dulu kita memperoleh majoriti besar tetapi jangan abaikan kecenderungan pada tempoh terakhir ini. Saya yakin pengundi di kawasan Kerdau memahami segala tindakan kerajaan khususnya usaha transfromasi dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang bertujuan membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

Justeru, rakyat dan penduduk Kerdau khususnya masyarakat di Rumpun Makmur ini perlu menterjemahkan kefahaman itu dengan menyokong calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Bila kita memangkah (calon BN) maknanya kita sokong usaha untuk memerangi jenayah, kita sokong usaha memperbaiki pendidikan, infrastruktur,” tambahnya lagi.

Muhyiddin berkata, konsep pembangunan yang dirangka BN mengimbangi antara dunia dan akhirat, sekali gus ia penting dalam kehidupan rakyat dan memajukan negara, begitu juga dasar yang digariskan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Oleh itu, bagi membolehkan proses pembangunan itu diteruskan, calon BN adalah yang terbaik kerana kita mahu memudahkan semua urusan untuk membantu rakyat sama ada daripada segi ekonomi, pendidikan, prasarana, sosial, perkhidmatan, kesejahteraan rakyat, kebajikan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman pada pilihan raya kecil terdahulu, ukuran penerimaan rakyat kepada BN semakin meningkat apabila memenangi hampir setiap pilihan raya kecil yang ditandingi.

“Kini di DUN Merlimau dan Kerdau, saya percaya dengan situasi sekarang BN boleh meraih kemenangan yang lebih besar berbanding 2008,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pada majlis itu, Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said turut mengumumkan kelulusan kerajaan membina sebuah sekolah kebangsaan bernilai RM6 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan sebuah masjid baru bernilai RM2 juta bagi kemudahan penduduk Rumpun Makmur.

4 March 2011

Pengundi beri reaksi positif – Syed Ibrahim

KUALA KRAU, 4 Mac – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata beliau mendapat reaksi positif daripada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan yakin mendapat sokongan penuh daripada penduduk kerana kehadirannya di sambut baik masyarakat setempat.

Beliau berkata, peningkatan sokongan itu dapat dilihat daripada setiap kali hadir pada majlis atau menziarahi penduduk pada sesi kempen pilihan raya kecil DUN tersebut.

“Hari ini masuk hari ketujuh berkempen, saya lihat sokongan bertambah dan  ini dapat dilihat ketika kami bertandang ke tempat mereka sambutan yang diberi amat baik.

“Banyak tempat telah kami kunjungi bagaimana pun kita perlu ulang balik agar mereka tidak lupa,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama masyarakat di Kampung Ketam, di sini.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau berkata, masyarakat Kerdau inginkan pembangunan yang seimbang antara fizikal dan spiritual.

“Pembangunan yang seimbang bukan sahaja diperlukan di Kerdau tetapi juga masyarakat di tempat lain. Pas sering membahagikan perkara tersebut. Iitulah politik mereka. Hakikatnya kita perlukan kedua-duanya sekali,” katanya.

4 March 2011

Jangan Jadikan Wanita Sebagai Kambing Hitam – Sharizat

KG GADOK, 4 Mac – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menasihatkan agar parti pembangkang tidak menjadikan Pergerakan Wanita sebagai kambing hitam di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau dan Merlimau hanya kerana mereka kehabisan idea untuk memburukkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Mereka sebenarnya sudah terlalu terdesak dan tiada isu sebab itu mereka menuduh dalaman Wanita BN bergolak dan cuba memburukkan imej Wanita di mata masyarakat.

“Saya turut kesal apabila mendapat laporan jentara wanita Pas menyamar sebagai Wanita BN dan pergi rumah ke rumah untuk memburukkan kerajaan. Tolonglah berhentikan sikap buruk yang memalukan ini. Saya kesal dengan sikap wanita Pas yang sanggup menyamar semata-mata untuk meraih undi,” katanya ketika melancarkan jentera Jalinan Rakyat BN di Kampung Gadok, di sini, hari ini.

Pelancaran serentak jentera tersebut yang dipanggil ‘Gelombang Merah’ mendapat sambutan yang amat baik di kalangan Wanita BN malah penduduk setempat menerima kehadiran mereka dengan baik.

“Saya bangga dengan prestasi kerja Wanita BN. Mereka inilah yang menjadi tulang belakang pada hari pengundian nanti untuk membawa keluar semua pengundi. Gerak kerja Wanita BN membantu kejayaan BN baik di sini ataupun di Merlimau. Mereka adalah srikandi sebenar,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, beliau turut berpesan kepada para pengundi agar jangan bereksperimen untuk memilih kerajaan.

“Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mendahulukan rakyat dan memastikan semua masyarakat hidup dalam aman dan damai.

“Jadi, buat apa kita hendak bereksperimen dan meletakkan masa hadapan kita menjadi susah. Jagalah kerajaan yang ada ini dengan baik. Sekali lagi saya tegaskan, jangan sesekali bereksperimen,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut, anakanda Sultan Pahang, Tunku Muhaini Sultan Ahmad Syah sebagai suntikan semangat kepada jentera wanita untuk terus membantu BN dalam meraih undi.

4 March 2011

Hina Sesama Manusia, Pas Harus Tanggung Implikasi Dunia Akhirat

KERDAU, 4 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, sedikitpun tidak berasa hati dengan gelagat Pas yang menghina gelaran Syed.

Katanya, Pas semakin mencerminkan rupa sebenar mereka dan rakyat akan mampu menilai sikap parti ini yang kononnya memperjuang dan mempertabatkan agama Islam.

“Dalam agama Islam, sesiapa sahaja dilarang untuk menghina sesama manusia bahkan Nabi sendiri ada menyatakan dalam hadithnya, jangan menghina satu benda yang baik.

“Allah s.w.t juga pernah berfirman, bercakaplah dengan Firaun wahai kamu Musa dengan perkataan yang lembut. Ini jelas menunjukkan, kita ditegah untuk memandang rendah dan menghina sesama kita,” terangnya.

Menurut Syed Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Syed Ibra, sekiranya Pas mahu terus menghina, itu terserah kepada hak masing-masing.

“Secara tidak langsung, sikap parti itu mencerminkan peribadi dan cara pembawakan Pas. Rakyat akan menilai sikap mereka ini kerana Islam tidak pernah mengajar atau menyuruh kita memandang hina sesama manusia walaupun berlainan agama dan bangsa,” terang Syed Ibra.

Beliau turut menjelaskan, Pas harus bertanggungjawab di dunia hingga akhirat atas implikasi daripada sikap mereka yang menyebabkan masyarakat akan memandang rendah terhadap agama Islam.

“Di dunia maksudnya dari segi kemasyarakatan yang menyebabkan orang Islam lain terpaksa membayar hutang yang sama terhadap hutang mereka buat. Orang akan pandang umat Islam itu dengan pandangan yang jahat dan serong disebabkan tingkah laku mereka.

“Oleh kerana itu, orang Islam yang lain terkena tempias dek akibat sikap Pas, maka mereka harus mananggung beban tersebut,” katanya kepada UMNO-Online.

Syed Ibra turut berpesan agar pemimpin-pemimpin Pas yang jelas mengetahui ajaran Islam dengan mendalam agar mendalami serta menghayati apa yang diajar oleh agama Islam sebenarnya.

“Jangan kerana politik, mereka buat-buat tidak tahu apa yang mereka tahu,” ujarnya.

4 March 2011

Pas Rosakkan Bendera Dan Poster BN di Kerdau

KERDAU, 4 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said melahirkan rasa kesal akan sikap fanatik Pas yang berkempen dengan cara tidak profesional.

Ini berikutan sikap penyokong Pas yang begitu fanatik merosakkan bendera dan poster Barisan Nasional (BN) terumatanya di kawasan Desa Murni dan sekitar DUN Kerdau sehinggakan petugas-petugas BN turut dihalang untuk menaikkan bendera dan poster di kawasan tersebut.

“Malam tadi saya turun di Desa Murni bagi melihat sendiri penyokong Pas yang menghalang Pemuda BN cawangan tersebut memasang bendera dan poster.

“Mereka mereka mengakui kononnya ini kawasan mereka. Siapa yang cakap mcam itu sedangkan ini kawasan terbuka. Kedua-dua parti boleh menaikkan bendera dan poster masing-masing. Saya tunggu sehingga semua kerja pemasangan selesai tetapi sayangnya pagi ini bila saya lalu di sini, tali mengikat bendera telah di bakar menyebabkan bendera jatuh dan poster yang dipasang juga telah dicabut.”

Terangnya lagi, beliau amat pasti, ini adalah kerja penyokong Pas yang terlalu fanatik dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang tidak bertamadun.

“Sikap mereka ini tidak mencemarkan kempen pilihan raya yang seharusnya berjalan dengan lancar dan bersih. Jadi saya telah menasihati Pemuda BN cawangan terbabit agar melaporkan kejadian ini kepada pihak berkuasa.”

Mengulas berkenaan laporan polis yang dibuat olehnya berhubung penggunaan poster mempunyai logo rasmi Kerajaan Pahang oleh Pas pada PRK DUN Kerdau, beliau berkata, ini jelas menunjukkan Pas menghina institusi diraja.

“Sekiranya Pas tewas di sini, sudah pasti ia akan mengheret institusi raja-raja Melayu. Tidakkah mereka sedar impak daripada penggunaan logo tersebut di poster itu. Sikap mereka ini amat memalukan,” katanya kepada UMNO-Online.

Selain kesalahan menggunakan logo kerajaan negeri, Pas juga tidak mematuhi syarat pilihan raya apabila mencetak logo parti pembangkang lain iaitu Dap dan Pkr.

“Di PRK DUN Kerdau, hanya pertembungan dua parti iatu BN dan Pas. Mereka tidak boleh meletakkan logo parti lain.

“Ini bukan kali pertama mereka menyertai pilihan raya. Sepatutnya mereka tahu peraturan ketika pilihan raya,” ujar Ismail.

Tindakan Pas ini telah melanggar peraturan berkempen mengikut Akta Kesalahan Piliihan Raya 1954 dan undang-undang negeri.

Beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil tindakan tagas terhadap pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

4 March 2011

Jangan Bermain Api, Kata Muhyiddin Kepada Pembangkang

TEMERLOH, 4 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak bermain api dengan menghasut rakyat menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan pemimpin pembangkang membandingkan Malaysia dengan negara-negara tertentu yang sedang menghadapi krisis politik itu adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab.

“Ini provokasi pembangkang…tidak bertanggungjawab, tidak demokratik dan sengaja mahu membuat huru-hara bila mana buat perbandingan situasi di Malaysia bila semua orang tahu, adalah negara yang aman, makmur dan membangun dengan pesat, rakyat jelata menikmati kemajuan yang agak tinggi berbanding negara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis beramah mesra dengan penduduk Kampung Badok di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pemimpin pembangkang dalam siri ceramah pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau di Pahang dan pilihan raya kecil bagi kerui DUN Melaka kawasan Merlimau, yang seolah-olah mengajak rakyat berdemonstrasi menggulingkan kerajaan.

Muhyiddin berkata pembangkang seharusnya jujur jika mahu membandingkan Malaysia dengan negara-negara yang sedang dilanda krisis politik itu.

“Dia boleh buat perbandingan tapi sebenarnya bukan satu perbandingan (yang) betul, apa lagi membuat provokasi, macam bermain dengan api, memprovokasi rakyat bangkit dan menentang kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa mengamalkan dasar yang membolehkan rakyat segenap lapisan menyampaikan apa sahaja pandangan atau perkara yang diperlukan untuk perhatian kerajaan menerusi pelbagai saluran.

“Kita mengamalkan sistem demokrasi yang segar di mana setiap lima tahun sekali ada pilihan raya…dia (pembangkang) menang juga, kita pun ada menang dalam pilihan raya kecil, dia kalah, kita pun ada ada kalah.

“Dari segi amalan demokrasi, itu sudah cukup membuktikan negara ini sebuah negara demokratik, negara yang tidak dijalankan atas dasar autokrasi, diktatorial, kalau dibandingkan presiden sebuah negara (lain) dengan Malaysia, (sebenarnya) tidak boleh buat perbandingan,” katanya.

Ditanya apa tindakan kerajaan untuk menangani perkara berkenaan, Muhyiddin berkata negara ini mempunyai sistem undang-undang keselamatan bagi memastikan perkara seperti itu tidak menjurus kepada keadaan yang semakin buruk.

“Kita beri amaran jangan bermain dengan api, kita ada sistem dan pihak berkuasa tentang (mengenai) keamanan dan keselamatan negara. Walaupun begitu, kita memperingatkan rakyat, jangan hancurkan negara ini kerana diprovokasi pembangkang.

“Tujuan (pembangkang) lain tidak ada, hanya nak timbulkan porak-peranda. (Mereka) lebih seronok negara ini hancur, ada pertembungan antara kaum, (mereka) buat provokasi, satu sikap yang amat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Muhyiddin sebelum itu bersolat Jumaat di Masjid Kampung Badok yang terletak di kawasan DUN Kerdau.

Pilihan raya kecil itu melibatkan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim. Pengundian ialah pada Ahad ini.

4 March 2011

Sanggup Tinggal Pendapatan Lumayan Hasil Getah Demi Pastikan BN Menang

TEMERLOH, 4 Mac – Jika penoreh getah lain berlumba-lumba mengejar pendapatan lumayan hasil jualan getah ekoran kenaikan harga komoditi itu, lain pula ceritanya bagi beberapa penoreh getah di Kampung Kerai di sini.

Pemuda yang mahu dikenali sebagai Dee, 37, berkata pendapatannya yang boleh mencecah RM500 sehari itu, sanggup ditinggalkan demi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Ahad ini yang sekaligus membolehkan agenda pembangunan di kampungnya diteruskan.

“Saya dengan rela hati turun padang membantu BN dengan memasang bendera di sekitar kampung saya tidak kira siang atau pun malam demi memastikan BN menang. Kami di kampung berasa amat selesa di bawah pentadbiran BN,” katanya dengan penuh semangat.

Dee berkata walaupun sedar tugasan itu mengundang risiko namun beliau dan rakan-rakannya sanggup melakukan tugas itu secara sukarela.

“Kalau nak kira bayaran, dah banyak dah kita dapat manfaat daripada bantuan kerajaan. Jadi bayaran itu bukan masalahnya. Dapat air dan sekotak rokok pun kami dah gembira,” katanya yang turut disokong rakannya Rozaimi Mohd Ali, 24.

Rozaimi berkata beliau tidak kisah terpaksa bekerja di tengah terik matahari dan berembun untuk memasang bendera dan poster calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, semata-mata hanya mahukan BN terus menguasai DUN berkenaan.

“Apa yang kerajaan buat sekarang dah bagus. Bagi golongan muda, pelbagai aktiviti dirancang kerajaan. Jadi tak ada sebab kenapa saya tak boleh memerah keringat membantu kerajaan.

“Kita di sini bukan pandang duit sangat. Yang penting semangat kepada parti yang menjamin kemajuan kampung kami,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Syed Ibrahim dan calon PAS Hassanuddin Salim, 43, diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN pada 12 Feb lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Ahad ini sebagai tarikh pengundian.