Archive for ‘Utama’

6 March 2011

BN Menang Besar, Majoriti Bertambah Di DUN Kerdau

TEMERLOH, 6 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dengan majoriti 2,724 undi.

Syed Ibrahim, 44, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 43, mendapat 2,336 undi.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira 8.20 malam ini.

Sebanyak 90 kertas undi ditolak.

Sejumlah 7,486 pengundi atau 83.20 peratus daripada 8,999 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu.

6 March 2011

P’raya Kecil Kerdau Catat 83 Peratus Keluar Mengundi

TEMERLOH, 6 Mac – Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau mencatatkan 83 peratus atau 7,480 orang pemilih keluar mengundi selepas semua 13 pusat mengundi ditutup 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya sudah menjangkakan jumlah itu berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum 2008 lalu iaitu 80.3 peratus.

Beliau berkata proses pengundian sejak pukul 8 pagi hingga 5 petang juga berjalan lancar walaupun terdapat beberapa insiden provokasi antara penyokong parti bertanding iaitu PAS dan Barisan Nasional (BN).

“Di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau tadi, keadaannya memang tegang dan panas tetapi pihak polis bertindak pantas mengawal keadaan supaya tidak berlarutan menjadi perkara tidak diingini,” katanya kepada pemberita di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh di sini hari ini.

Beliau berkata kini kesemua 13 peti undi dibawa balik ke dewan berkenaann untuk dijumlahkan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan keputusannya yang dijangka 8 malam ini.

6 March 2011

Sasaran 80 Peratus Keluar Mengundi Dicapai

TEMERLOH, 6 Mac – Sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyaksikan lebih 80 peratus pemilih keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Kerdau dicapai pada pukul 4 petang ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman ketika dihubungi berkata setakat 4 petang, kira-kira 81.52 peratus atau 7,336 orang sudah keluar mengundi sejak pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.

SPR meletakkan sasaran itu berdasarkan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008 sebanyak 80.3 peratus.

Kurang sejam lagi, semua 13 pusat mengundi dengan 22 saluran akan ditutup serentak pada pukul 5 petang.

Sejurus ditutup, kesemua peti undi akan dibawa ke Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh untuk dijumlahkan.

6 March 2011

Peratusan Mengundi Di Kerdau Melebihi 60 Peratus Setakat 12 Tengah Hari

TEMERLOH, 6 Mac – Peratusan yang keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sehingga pukul 12 tengah hari ini ialah 65.29 peratus atau 5,874 orang.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil DUN Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin akan mencapai sasaran lebih 80 peratus.

DUN Kerdau mempunyai 8,999 pengundi berdaftar termasuk 51 pengundi pos

6 March 2011

4,890 Orang Sudah Mengundi Setakat 11 Pagi Ini

TEMERLOH, 6 Mac – Peratus pengundi yang keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau adalah 53,34 peratus atau kira-kira 4,890 orang setakat pukul 11 pagi ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman berkata SPR menyasarkan peratus pengundi yang keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah lebih 80 peratus.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal di Kuala Krau di sini pada pukul 8.20 pagi tadi.

Pada pilihan raya itu, Syed Ibrahim dicabar Hassanuddin Salim daripada parti PAS.

6 March 2011

Proses Pengundian DUN Kerdau Bermula

TEMERLOH, 6 Mac – Pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Merlimau dan DUN Kerdau dibuka tepat 8.00 pagi seperti dijadualkan.

Calon BN DUN Kerdau ialah Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau dan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dicabar Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Kerdau daripada BN, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Feb lepas akibat serangan jantung.

Tiga belas pusat pengundi bagi DUN Kerdau ialah Dewan Puspa Rumpun Makmur, Sekolah Kebangsaan Jengka 25, Sekolah Kebangsaan Jengka 22, Balai Raya Kampung Seri Tanjung, Sekolah Kebangsaan Jengka 23, Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal, Sekolah Kebangsaan Pulau Pasir Mandi, Balai Raya Kerai; Sekolah Kebangsaan Lipat Kajang, Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau, Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Sekolah Kebangsaan Kerdau dan Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang.

Proses pengundian akan berakhir jam 5 petang dan keputusan dijangka diumumkan pada 8 malam ini.

5 March 2011

Nilai Dulu Kenyataan Nik Aziz Sebelum Mengundi

KUALA KRAU 5 Mac –  Umat Islam khususnya pengundi di kawasan ini perlu menilai dengan mendalam pengakuan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa dia banyak mengundang kepada perpecahan umat Islam, sebelum keluar mengundi esok.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pengakuan Nik Aziz itu jelas menggambarkan apa yang dinyatakan sebelum ini mengundang kepada perpecahan umat Islam di negara ini.

“Kenyataan Nik Aziz itu dah terlewat..dan saya tengok banyak kenyataan pimpinan Pas yang seagama dan sebangsa dengan kita kerana pertimbangan politik, kerana ghairah sangat kerana mahu naik takhta dan kerana dah dikaburi matanya oleh pihak lain daripada pakatan yang yang mungkin janjikan pelbagai akhirnya agama, dan perpaduan ummah dan perpaduan rakyat majmuk jadi gadaian.”

“Kalau nak sedar sekarang kenyataannya itu boleh memecahbelahkan, saya nak katakan dah pun menjejaskan perpaduan serta kesatuan dan usaha kita nak membina negara bangsa yang bersatu padu dan harmoni selama ini. Tetapi klau dah sedar tu syukurlah,” katanya.

Bernama melaporkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kenyataan politiknya ketika berkempen dalam pilihan raya boleh menyebabkan umat Islam di negara ini berpecah-belah.

Nik Aziz berkata, dalam perjuangannya mempertahankan parti terdapat kenyataan dikeluarkan beliau akan menyebabkan ada pihak yang menyokong kenyataannya dan ada pihak yang menentang pandangannya.

Nik Abdul Aziz pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan fatwanya sendiri ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor  bahawa pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) adalah golongan Jahiliyah kerana mereka menolak Pas, parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Berikutan kenyataan itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Nik Abdul Aziz hanya berjuang untuk memenangi pilihan raya dan bukannya berjuang untuk Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut menegur kenyataan Nik Aziz menghukum pengundi yang tidak menyokong UMNO atau BN dalam pilihan raya akan masuk neraka manakala mereka yang mengundi PAS akan masuk syurga, kerana pandangan sedemikian memesongkan akidah umat Islam.

Nik Abdul Aziz berkata beliau akan terus menggunakan pendekatan menjelaskan hukum halal haram dalam memilih pemimpin parti pada pilihan raya walaupun tindakannya itu ditegur oleh alim-ulama negara ini.

Ketika ditanya mengenai pendedahan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  yang mendapat maklumat bahawa pihak tertentu sedang merancang untuk menghuru-harakan negara menerusi tindakan ganas dan mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan sepertimana di Asia Barat, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata:

“tujuan mereka dan matlamat mereka bersandarkan kepada kepentingan politik dan mahu menangguk di air keruh selain mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku Timur Tengah.

“Orang ramai di sini khususnya kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memahami landskap baru ini dan tahu kena berubah, tahu kena letakkan rakyat sebagai keutamaan dan tahu seperti “transform” mengikut suasana dunia pada hari ini.

“Ini membezakan kita dengan negara-negara berkenaan dan inilah yang menyebabkan usaha mereka ini tidak dapat sambutan dan Polis sentiasa pantau apa yang Datuk Seri Zahid beritahu semalam dan TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kita dan dalam PDRM pun siap sedia untuk apa jua kemungkinan,” katanya.

4 March 2011

Jangan Pilih Wakil Rakyat Yang Salah – TPM

Kuala Krau, 4 Mac- Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau diingatkan agar tidak merencatkan usaha pembangunan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memilih wakil rakyat yang salah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat seharusnya memilih calon yang boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pusat untuk mempermudahkan menyelesaikan masalah dan keperluan mereka.

“Adalah lebih elok memilih calon yang boleh bekerjasama dengan pimpinan negeri dan pusat untuk mempermudahkan urusan membantu rakyat daripada segi ekonomi, prasarana, pendidikan, perubatan dan kesihatan dan sebagainya. Ini kerana masih ada ruang untuk kawasan ini dibangun dan dimajukan,” ujarnya ketika Program Ramah Mesra bersama Masyarakat di Kampung Rumpun Makmur, petang tadi.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin mengingatkan jentera BN agar bekerja lebih keras dalam tempoh 48 jam terakhir berkempen. Ini adalah satu tempoh masa yang kritikal, dan menjadi penentu kepada kemenangan calon BN, 6 Mac nanti.

“Tempoh 48 jam ini kritikal, dulu kita memperoleh majoriti besar tetapi jangan abaikan kecenderungan pada tempoh terakhir ini. Saya yakin pengundi di kawasan Kerdau memahami segala tindakan kerajaan khususnya usaha transfromasi dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang bertujuan membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

Justeru, rakyat dan penduduk Kerdau khususnya masyarakat di Rumpun Makmur ini perlu menterjemahkan kefahaman itu dengan menyokong calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Bila kita memangkah (calon BN) maknanya kita sokong usaha untuk memerangi jenayah, kita sokong usaha memperbaiki pendidikan, infrastruktur,” tambahnya lagi.

Muhyiddin berkata, konsep pembangunan yang dirangka BN mengimbangi antara dunia dan akhirat, sekali gus ia penting dalam kehidupan rakyat dan memajukan negara, begitu juga dasar yang digariskan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Oleh itu, bagi membolehkan proses pembangunan itu diteruskan, calon BN adalah yang terbaik kerana kita mahu memudahkan semua urusan untuk membantu rakyat sama ada daripada segi ekonomi, pendidikan, prasarana, sosial, perkhidmatan, kesejahteraan rakyat, kebajikan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman pada pilihan raya kecil terdahulu, ukuran penerimaan rakyat kepada BN semakin meningkat apabila memenangi hampir setiap pilihan raya kecil yang ditandingi.

“Kini di DUN Merlimau dan Kerdau, saya percaya dengan situasi sekarang BN boleh meraih kemenangan yang lebih besar berbanding 2008,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pada majlis itu, Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said turut mengumumkan kelulusan kerajaan membina sebuah sekolah kebangsaan bernilai RM6 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan sebuah masjid baru bernilai RM2 juta bagi kemudahan penduduk Rumpun Makmur.

4 March 2011

Pas Rosakkan Bendera Dan Poster BN di Kerdau

KERDAU, 4 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said melahirkan rasa kesal akan sikap fanatik Pas yang berkempen dengan cara tidak profesional.

Ini berikutan sikap penyokong Pas yang begitu fanatik merosakkan bendera dan poster Barisan Nasional (BN) terumatanya di kawasan Desa Murni dan sekitar DUN Kerdau sehinggakan petugas-petugas BN turut dihalang untuk menaikkan bendera dan poster di kawasan tersebut.

“Malam tadi saya turun di Desa Murni bagi melihat sendiri penyokong Pas yang menghalang Pemuda BN cawangan tersebut memasang bendera dan poster.

“Mereka mereka mengakui kononnya ini kawasan mereka. Siapa yang cakap mcam itu sedangkan ini kawasan terbuka. Kedua-dua parti boleh menaikkan bendera dan poster masing-masing. Saya tunggu sehingga semua kerja pemasangan selesai tetapi sayangnya pagi ini bila saya lalu di sini, tali mengikat bendera telah di bakar menyebabkan bendera jatuh dan poster yang dipasang juga telah dicabut.”

Terangnya lagi, beliau amat pasti, ini adalah kerja penyokong Pas yang terlalu fanatik dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang tidak bertamadun.

“Sikap mereka ini tidak mencemarkan kempen pilihan raya yang seharusnya berjalan dengan lancar dan bersih. Jadi saya telah menasihati Pemuda BN cawangan terbabit agar melaporkan kejadian ini kepada pihak berkuasa.”

Mengulas berkenaan laporan polis yang dibuat olehnya berhubung penggunaan poster mempunyai logo rasmi Kerajaan Pahang oleh Pas pada PRK DUN Kerdau, beliau berkata, ini jelas menunjukkan Pas menghina institusi diraja.

“Sekiranya Pas tewas di sini, sudah pasti ia akan mengheret institusi raja-raja Melayu. Tidakkah mereka sedar impak daripada penggunaan logo tersebut di poster itu. Sikap mereka ini amat memalukan,” katanya kepada UMNO-Online.

Selain kesalahan menggunakan logo kerajaan negeri, Pas juga tidak mematuhi syarat pilihan raya apabila mencetak logo parti pembangkang lain iaitu Dap dan Pkr.

“Di PRK DUN Kerdau, hanya pertembungan dua parti iatu BN dan Pas. Mereka tidak boleh meletakkan logo parti lain.

“Ini bukan kali pertama mereka menyertai pilihan raya. Sepatutnya mereka tahu peraturan ketika pilihan raya,” ujar Ismail.

Tindakan Pas ini telah melanggar peraturan berkempen mengikut Akta Kesalahan Piliihan Raya 1954 dan undang-undang negeri.

Beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil tindakan tagas terhadap pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

4 March 2011

Jangan Bermain Api, Kata Muhyiddin Kepada Pembangkang

TEMERLOH, 4 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak bermain api dengan menghasut rakyat menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan pemimpin pembangkang membandingkan Malaysia dengan negara-negara tertentu yang sedang menghadapi krisis politik itu adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab.

“Ini provokasi pembangkang…tidak bertanggungjawab, tidak demokratik dan sengaja mahu membuat huru-hara bila mana buat perbandingan situasi di Malaysia bila semua orang tahu, adalah negara yang aman, makmur dan membangun dengan pesat, rakyat jelata menikmati kemajuan yang agak tinggi berbanding negara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis beramah mesra dengan penduduk Kampung Badok di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pemimpin pembangkang dalam siri ceramah pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau di Pahang dan pilihan raya kecil bagi kerui DUN Melaka kawasan Merlimau, yang seolah-olah mengajak rakyat berdemonstrasi menggulingkan kerajaan.

Muhyiddin berkata pembangkang seharusnya jujur jika mahu membandingkan Malaysia dengan negara-negara yang sedang dilanda krisis politik itu.

“Dia boleh buat perbandingan tapi sebenarnya bukan satu perbandingan (yang) betul, apa lagi membuat provokasi, macam bermain dengan api, memprovokasi rakyat bangkit dan menentang kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa mengamalkan dasar yang membolehkan rakyat segenap lapisan menyampaikan apa sahaja pandangan atau perkara yang diperlukan untuk perhatian kerajaan menerusi pelbagai saluran.

“Kita mengamalkan sistem demokrasi yang segar di mana setiap lima tahun sekali ada pilihan raya…dia (pembangkang) menang juga, kita pun ada menang dalam pilihan raya kecil, dia kalah, kita pun ada ada kalah.

“Dari segi amalan demokrasi, itu sudah cukup membuktikan negara ini sebuah negara demokratik, negara yang tidak dijalankan atas dasar autokrasi, diktatorial, kalau dibandingkan presiden sebuah negara (lain) dengan Malaysia, (sebenarnya) tidak boleh buat perbandingan,” katanya.

Ditanya apa tindakan kerajaan untuk menangani perkara berkenaan, Muhyiddin berkata negara ini mempunyai sistem undang-undang keselamatan bagi memastikan perkara seperti itu tidak menjurus kepada keadaan yang semakin buruk.

“Kita beri amaran jangan bermain dengan api, kita ada sistem dan pihak berkuasa tentang (mengenai) keamanan dan keselamatan negara. Walaupun begitu, kita memperingatkan rakyat, jangan hancurkan negara ini kerana diprovokasi pembangkang.

“Tujuan (pembangkang) lain tidak ada, hanya nak timbulkan porak-peranda. (Mereka) lebih seronok negara ini hancur, ada pertembungan antara kaum, (mereka) buat provokasi, satu sikap yang amat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Muhyiddin sebelum itu bersolat Jumaat di Masjid Kampung Badok yang terletak di kawasan DUN Kerdau.

Pilihan raya kecil itu melibatkan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim. Pengundian ialah pada Ahad ini.