8 March 2011

Kejayaan BN, Kemenangan Untuk PM, Kemenangan Kita Semua – Adnan Yaakob

TEMERLOH 6 Mac – Kejayaan calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad berjaya mempertahankan DUN Kerdau membuktikan bahawa rakyat terus menyokong kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kejayaan kali ini adalah lebih baik daripada keputusan pada pilihan raya umum 2008 apabila pengundi DUN Kerdau yang berbilang kaum terus memberikan sokongan pada BN.

 

“Kemenangan hari ini adalah kemenangan semua pengundi Kerdau tanpa mengira kaum untuk Perdana Menteri, terima kasih kepada pengundi yang telah membuat pilihan.

“Sebagai pengarah pilihan raya BN, saya amat menghargai penglibatan semua pihak yang telah membantu kita memenangi pilihan raya ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pengumunan kemenangan calon BN di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

Syed Ibrahim memperolehi undi sebanyak 5,060 manakala calon Pas, Hassannudin Salim (2336) dengan majoriti 2,724

Menurutnya, dengan kemenangan itu lebih banyak pembangunan akan dapat dilaksanakan di samping meneruskan tugas-tugas yang tertangguh berikutan kematian wakil rakyat sebelum ini, Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

“Syed Ibrahim menyatakan kepada saya untuk memikul tanggungjawab itu kerana masih ada tempat-tempat yang memerlukan perhatian dan pembelaaan daripada kerajaan BN.

“Kemenangan ini akan menguatkan lagi azam serta semangat kita untuk berkhidmat pada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama yang ada di Kerdau dan di Pahang,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Pas bahawa mereka masih mempunyai sokongan, Adnan berkata perkara itu tidak perlu difikirkan secara terperinci tetapi yang penting majoriti BN meningkat dan itu tandanya rakyat menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada.

“Pembangkang akan memberi apa sahaja alasan, mana mungkin parti pembangkang boleh mendapat kosong undi atau hilang pertaruhan. Apa yang penting BN berjaya menambah jumlah undi yang diterima..

Menurutnya, dalam pilihan raya ia perlu dilihat secara keseluruhan dan terbukti melalui apa yang dicapai pada PRK kali dan BN terbukti masih mendapat sokongan besar daripada rakyat. – MediaUMNO.

 

8 March 2011

Kemenangan Jadi Pendorong Untuk PRU-13

TEMERLOH, 6 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kemenangan wakil Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau membuktikan rakyat menolak parti pembangkang yang terkenal dengan fitnah dan janji-janji kosong.

“Semasa tempoh berkempen, banyak isu-isu pembohongan yang dibangkitkan oleh pembangkang seperti kerajaan akan bankrap dan isu Felda kononnya menjadi hamba kerajaan. Kini jelas sudah, rakyat tahu pembangkang hanya pandai berjanji tetapi tidak pandai menunaikan.

“Pembangkang boleh melupakan semua fitnah mereka terhadap kerajaan dan selepas ini saya berharap rakyat terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan tidak terpengaruh dengan fitnah pembangkang,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan ucapan tahniah di atas kebijaksanaan pengundi DUN Kerdau kerana mengundi Syed Ibrahim sebagai wakil rakyat yang baru dan menang dengan majoriti yang besar.

BN memenangi PRK Kerdau dengan jumlah 5,060 undi dan kemenangan tersebut dianggap sebagai pendorong kepada kerja keras semua jentera BN.

Ketika ditanya mengenai harapan beliau terhadap Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berdasarkan kemenangan di Kerdau ini, katanya, isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi di sini amat jelas bahawa mereka telah kembali mempercayai BN untuk terus menerajui negara.

“Kemenangan ini harus kita hargai. Kita tidak boleh leka dan mesti terus bekerja keras seolah-olah PRU akan diadakan esok.

“Saya yakin, kemenangan di Kerdau dan Merlimau adalah petanda bahawa kita akan menang besar di PRU 13 seperti semasa PRU 2004,” ujarnya kepada UMNO-Online. – MediaUMNO

 

6 March 2011

BN Menang Besar, Majoriti Bertambah Di DUN Kerdau

TEMERLOH, 6 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dengan majoriti 2,724 undi.

Syed Ibrahim, 44, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 43, mendapat 2,336 undi.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira 8.20 malam ini.

Sebanyak 90 kertas undi ditolak.

Sejumlah 7,486 pengundi atau 83.20 peratus daripada 8,999 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu.

6 March 2011

P’raya Kecil Kerdau Catat 83 Peratus Keluar Mengundi

TEMERLOH, 6 Mac – Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau mencatatkan 83 peratus atau 7,480 orang pemilih keluar mengundi selepas semua 13 pusat mengundi ditutup 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya sudah menjangkakan jumlah itu berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum 2008 lalu iaitu 80.3 peratus.

Beliau berkata proses pengundian sejak pukul 8 pagi hingga 5 petang juga berjalan lancar walaupun terdapat beberapa insiden provokasi antara penyokong parti bertanding iaitu PAS dan Barisan Nasional (BN).

“Di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau tadi, keadaannya memang tegang dan panas tetapi pihak polis bertindak pantas mengawal keadaan supaya tidak berlarutan menjadi perkara tidak diingini,” katanya kepada pemberita di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh di sini hari ini.

Beliau berkata kini kesemua 13 peti undi dibawa balik ke dewan berkenaann untuk dijumlahkan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan keputusannya yang dijangka 8 malam ini.

6 March 2011

Sasaran 80 Peratus Keluar Mengundi Dicapai

TEMERLOH, 6 Mac – Sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyaksikan lebih 80 peratus pemilih keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Kerdau dicapai pada pukul 4 petang ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman ketika dihubungi berkata setakat 4 petang, kira-kira 81.52 peratus atau 7,336 orang sudah keluar mengundi sejak pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.

SPR meletakkan sasaran itu berdasarkan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008 sebanyak 80.3 peratus.

Kurang sejam lagi, semua 13 pusat mengundi dengan 22 saluran akan ditutup serentak pada pukul 5 petang.

Sejurus ditutup, kesemua peti undi akan dibawa ke Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh untuk dijumlahkan.

6 March 2011

Peratusan Mengundi Di Kerdau Melebihi 60 Peratus Setakat 12 Tengah Hari

TEMERLOH, 6 Mac – Peratusan yang keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sehingga pukul 12 tengah hari ini ialah 65.29 peratus atau 5,874 orang.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil DUN Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin akan mencapai sasaran lebih 80 peratus.

DUN Kerdau mempunyai 8,999 pengundi berdaftar termasuk 51 pengundi pos

6 March 2011

4,890 Orang Sudah Mengundi Setakat 11 Pagi Ini

TEMERLOH, 6 Mac – Peratus pengundi yang keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau adalah 53,34 peratus atau kira-kira 4,890 orang setakat pukul 11 pagi ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman berkata SPR menyasarkan peratus pengundi yang keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah lebih 80 peratus.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal di Kuala Krau di sini pada pukul 8.20 pagi tadi.

Pada pilihan raya itu, Syed Ibrahim dicabar Hassanuddin Salim daripada parti PAS.

6 March 2011

Proses Pengundian DUN Kerdau Bermula

TEMERLOH, 6 Mac – Pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Merlimau dan DUN Kerdau dibuka tepat 8.00 pagi seperti dijadualkan.

Calon BN DUN Kerdau ialah Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau dan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dicabar Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Kerdau daripada BN, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Feb lepas akibat serangan jantung.

Tiga belas pusat pengundi bagi DUN Kerdau ialah Dewan Puspa Rumpun Makmur, Sekolah Kebangsaan Jengka 25, Sekolah Kebangsaan Jengka 22, Balai Raya Kampung Seri Tanjung, Sekolah Kebangsaan Jengka 23, Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal, Sekolah Kebangsaan Pulau Pasir Mandi, Balai Raya Kerai; Sekolah Kebangsaan Lipat Kajang, Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau, Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Sekolah Kebangsaan Kerdau dan Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang.

Proses pengundian akan berakhir jam 5 petang dan keputusan dijangka diumumkan pada 8 malam ini.

5 March 2011

Nilai Dulu Kenyataan Nik Aziz Sebelum Mengundi

KUALA KRAU 5 Mac –  Umat Islam khususnya pengundi di kawasan ini perlu menilai dengan mendalam pengakuan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa dia banyak mengundang kepada perpecahan umat Islam, sebelum keluar mengundi esok.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pengakuan Nik Aziz itu jelas menggambarkan apa yang dinyatakan sebelum ini mengundang kepada perpecahan umat Islam di negara ini.

“Kenyataan Nik Aziz itu dah terlewat..dan saya tengok banyak kenyataan pimpinan Pas yang seagama dan sebangsa dengan kita kerana pertimbangan politik, kerana ghairah sangat kerana mahu naik takhta dan kerana dah dikaburi matanya oleh pihak lain daripada pakatan yang yang mungkin janjikan pelbagai akhirnya agama, dan perpaduan ummah dan perpaduan rakyat majmuk jadi gadaian.”

“Kalau nak sedar sekarang kenyataannya itu boleh memecahbelahkan, saya nak katakan dah pun menjejaskan perpaduan serta kesatuan dan usaha kita nak membina negara bangsa yang bersatu padu dan harmoni selama ini. Tetapi klau dah sedar tu syukurlah,” katanya.

Bernama melaporkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kenyataan politiknya ketika berkempen dalam pilihan raya boleh menyebabkan umat Islam di negara ini berpecah-belah.

Nik Aziz berkata, dalam perjuangannya mempertahankan parti terdapat kenyataan dikeluarkan beliau akan menyebabkan ada pihak yang menyokong kenyataannya dan ada pihak yang menentang pandangannya.

Nik Abdul Aziz pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan fatwanya sendiri ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor  bahawa pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) adalah golongan Jahiliyah kerana mereka menolak Pas, parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Berikutan kenyataan itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Nik Abdul Aziz hanya berjuang untuk memenangi pilihan raya dan bukannya berjuang untuk Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut menegur kenyataan Nik Aziz menghukum pengundi yang tidak menyokong UMNO atau BN dalam pilihan raya akan masuk neraka manakala mereka yang mengundi PAS akan masuk syurga, kerana pandangan sedemikian memesongkan akidah umat Islam.

Nik Abdul Aziz berkata beliau akan terus menggunakan pendekatan menjelaskan hukum halal haram dalam memilih pemimpin parti pada pilihan raya walaupun tindakannya itu ditegur oleh alim-ulama negara ini.

Ketika ditanya mengenai pendedahan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  yang mendapat maklumat bahawa pihak tertentu sedang merancang untuk menghuru-harakan negara menerusi tindakan ganas dan mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan sepertimana di Asia Barat, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata:

“tujuan mereka dan matlamat mereka bersandarkan kepada kepentingan politik dan mahu menangguk di air keruh selain mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku Timur Tengah.

“Orang ramai di sini khususnya kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memahami landskap baru ini dan tahu kena berubah, tahu kena letakkan rakyat sebagai keutamaan dan tahu seperti “transform” mengikut suasana dunia pada hari ini.

“Ini membezakan kita dengan negara-negara berkenaan dan inilah yang menyebabkan usaha mereka ini tidak dapat sambutan dan Polis sentiasa pantau apa yang Datuk Seri Zahid beritahu semalam dan TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kita dan dalam PDRM pun siap sedia untuk apa jua kemungkinan,” katanya.

5 March 2011

Amaran TPM Kepada Pembangkang, Wajar Dan Tepat

KERDAU, 5 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata, amaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada pihak pembangkang agar jangan bermain api adalah satu yang wajar dan kena pada masa.

Katanya, sikap pembangkang membuat provokasi amat memalukan dan menyebabkan masyarakat berbalah sesama sendiri.

“Peringatan tersebut agar pembangkang jangan menghancur dan membakar negara adalah satu peringatan yang sangat mustahak. Ini kerana ada usaha-usaha dari pihak pembangkang yang ingin jadikan Malaysia sebagai sasaran sepertimana yang berlaku di Timur Tengah.”

Ujarnya, Malaysia tidak sama dengan negara-negara yang sedang bergolak itu kerana kita mengamalkan demokrasi, tiada masalah pengangguran seperti negara mereka dan juga tiada masalah kenaikan harga barang melampau.

“Rakyat harus tahu, kerajaan telah membelanjakan 74 ribu juta ringgit untuk mengawal kenaikan harga barang. Ini semua adalah untuk kepentingan rakyat. Sebenarnya, sikap tidak bertanggungjawab pembangkang mahu menimbulkan keadaan huru hara semata-mata untuk berkuasa.

“Mereka parti fitnah yang menyebabkan negara kacau bilau. Tetapi saya percaya pihak berwajib tidak akan akan membiarkan apa yang dirancang oleh pihak pembangkang menjadi kenyataan.

Beliau turut membidas sikap pembangkang yang sanggup mengupah orang melakukan kerja-kerja kotor mereka mengoyak bendera Barisan Nasional (BN) di sini.

Ini berikutan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau semalam. Pihak polis berjaya menahan lima orang lelaki ketika sedang mengoyak dan mencabut bendera serta poster BN. Hasil siasatan mendapati mereka telah diupah oleh pihak pembangkang untuk berbuat demikian.

“Selama ini mereka menuduh kita buat macam itu tapi sekarang lihatlah siapa yang bermain kotor. Ini adalah perbuatan terdesak. Mereka seakan tahu akan tewas di Kerdau dan Merlimau. Sebab itu mereka main kotor,” jelasnya.

Beliau turut berpesan kepada penggundi di Kerdau dan Merlimau, agar terus bersama-sama BN dalam mengekalkan negara terus aman, makmur dan harmoni.

“Kita mampu merampas kerusi di kubu kuat mereka di Galas dan tidak mustahil kita akan menang berganda di Kerdau dan Merlimau, insyaallah,” katanya kepada UMNO-Online.